Friday, February 7, 2014

Sorotan Abu Darda’ ra

Ada riwayat yang menceritakan bahawa Abu Darda’ ra menangis ketika Islam mencapai puncak kemenangan. Apakah sebabnya engkau menangis?. Jawab Abu Darda’ ra : Aduh…Wahai Jubair! Alangkah hinanya makhluk di sisi Allah, bila mereka meninggalkan kewajibannya terhadap Allah, ketika ia sebagai suatu umat yang perkasa, berjaya mempunyai kekuatan lalu mereka tinggalkan amanah Allah, maka jadilah mereka seperti yang engkau lihat!.

Tatkala beliau sedang sakit, para sahabat mencadangkan agar hamparan kulit digantikan dengan tilam yang lebih baik. Beliau menjawab: Kampung kita nun jauh di sana…untuknya kita mengumpulkan bekalan dan ke sana kita akan kembali….kita akan berangkat kepadanya…dan beramal untuk bekalan di sana…..

Beliaulah juga yang telah mengingatkan kita dengan bicara indahnya iaitu; Kebaikan bukanlah kerana banyak harta dan anak-pinakmu tetapi kebaikan yang sesungguhnya ialah bila semakin rasa belas kasihan, semakin bertambah banyak ilmumu, dan kamu berlumba-lumba menandingi manusia dalam mengabdi kepada Allah Taala!.

Carilah kebaikan sepanjang hidupmu, dan hendaklah engkau mencari hembusan kurnia Allah, sesungguhnya Allah mempunyai tiupan rahmat yang dapat mengenai siapa sahaja yang dikehendaki di antara hamba-hambaNya. Mohonlah kepada Allah SWT agar Dia menutupi rasa malu atau cela dan kejahatanmu serta menghilangkan rasa ketidaktenteramanmu!

Kebaikan sebesar atom (zarrah) dari orang yang bertakwa dan yakin, lebih berat dan lebih bernilai daripada ibadah seumpama gunung dari orang-orang yang menipu diri sendiri!

Janganlah kamu sekalian membebani orang dengan sesuatu yang tidak sanggup dipikulnya, dan janganlah kamu sekalian menghisab mereka dengan mengambil alih pekerjaan Tuhannya! Jagalah diri engkau sendiri, sebab sesiapa yang selalu mengingini apa yang dimiliki orang lain, nescaya akan berkepanjangan kegelisahannya!

Cacian dari seorang saudara adalah lebih baik daripada kehilangannya. Siapakah mereka bagimu, kalau bukan saudara atau teman? Berilah saudaramu dan berlemah lembutlah kepadanya! Dan jangan engkau terikut-ikut dengki-hati kepada saudaramu, nanti engkau akan seperti dia pula! Besok engkau akan didatangi maut, maka cukuplah bagi engkau kehilangannya. Bagaimana engkau akan menangisinya sesudah mati sedang selagi hidup tidak pernah engkau memenuhi haknya?

Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari kutukan hati ulama, yakni dibencinya aku!.

Wallahu alam.

Dr Khalid Muhammad Khalid
Sejarah 133 wira terbilang di zaman rasullah saw, 2012

No comments:

Post a Comment