Friday, February 28, 2014

Kata Khatib

Berkata khatib dari mimbarnya:

Hendaknya masjid tidak hanya
tempat pertemuan warga bersara sahaja
datang menghimpun diri
mentaati Allah.

Lalu menyeru sekalian umur
mengunjungi rumah Allah
kerana tambahnya
janjiNya tidak mengenal usia.

Suatu hakikat yang tiada siapa
dapat menyanggahnya
di masjid mahupun di surau
warga tua membarisi saf depan
dan saf belakang.

Kata-kata khatib menusuk rasa
mencuit sedar
betapa kesibukan tugasan menjadi alasan
menunggu ruang masa tidak pernah terluang
menghambat dunia tidak berkecukupan
sedang usia muda bukan jaminan
jemputan pulang tak mengira siapa
pangkat, darjat tinggal semuanya.

Lalu bertanya
mampukah kita bertangguhan?
kerana hayat hidup bukan milik kekal
bisa terpadam tetiba
bila-bila masa saja!

Izani HD
Kota Bharu
Dewan Tamadun Islam
Bil. 3 Tahun 2013

No comments:

Post a Comment