Wednesday, February 26, 2014

Peluang

Semua orang ada peluang
Ambil segera jangan dibuang.

Ada peluang jangan terlepas
Peluang pergi tinggal hampas.

Peluang datang hanya sekali
Setelah pergi sukar kembali.

Peluang berada di mana-mana
Gunakan peluang dengan bijaksana.

Dulu disebut peluang keemasan
Jangan sampai ditimpa kecemasan.

Sekarang dikata peluang kewangan
Jangan sampai di awing-awangan.

Rebutlah peluang semasa ada
Tak guna menyesal sudah tiada.

Jika kita tiada peluang
Fikiran sempit tiada ruang.

Ada peluang terus sambut
Berani bertindak pantang dicabar.

Jangan khuatir kata-kata keji
Senyum sahaja apabila diuji.

Jangan lemah mengaku kalah
Jiwa berani pasti menyerlah.

Ada peluang ada rezeki
Ada wang simpanlah baki.

Peluang bukan hanya pada wang
Silap langkah masuk ke gawang.

Ada orang mengambil peluang
Awas wang lesap diri terbuang.

Ada orang hendak beri peluang
Siang kelawar malam keluang.

Peluang itu satu kesempatan
Murah rezeki sumber pendapatan.

Peluang sebenarnya macam-macam ada
Rebutlah peluang semasa ada.

Yang penting pancing peluang
Sama ada tenggiri atau seluang.

Rezeki berada di mana-mana
Tidak di sini mungkin di sana.

Peluang datang dari sini sana
Rezeki muncul tanpa rencana.

Peluang dari pintu dan tingkap
Keluar dicari datang ditangkap.

Peluang mungkin di lain tempat
Ada rezeki insya-Allah dapat.

Bukan sekadar kata atau cakap
Yang penting tindakan mesti cekap.

Kata orang rezeki masing-masing
Ada kalanya jangan bising-bising.

Jika tiada rezeki kita
Hendaklah reda  apa nak kata.

Jika sungguh nak cari peluang
Jangan takut untuk berjuang.

Jika tidak diberi peluang
Cuba lagi ada masa terluang.

Peluang hadir pada lain masa
Tabahkan hati jangan putus asa.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

No comments:

Post a Comment