Friday, December 27, 2013

Ibrah Tasbih nabi Yunus as ( 2 )

Terapi 3T - tauhid

Mari kita lihat bagaimana Terapi 3T ini boleh kita aplikasikan dalam kehidupan kita. Insya-Allah.. Pertama, soal tauhid. Apa makna Tauhid? Mudahnya disebut tauhid ialah mengikhlaskan seluruh kehidupan kita kepada Allah SWT. Ikhlaskan sahaja. Segala amalan, segala tindakan, segala pengorbanan kita hanya kepada Allah kerana kita harus ingat paras kebahagiaan atau pun ketenangan hidup kita tergantung pada kadar keikhlasan kita. Semakin ikhlas kita dalam suatu amalan, semakin bahagia kita rasakan.Bayangkan kebahagiaan yang akan Allah curahkan kepada seorang hamba yang melakukan sesuatu benar-benar dengan niat untuk mempersembahkannya kepada Allah.

Analogi yang agak mudah, andaikata kita memasak, selama ini kita masak untuk orang dalam rumah sahaja. Paling ramai pun jiran, kawan-kawan. Suatu hari, kita dijemput untuk memasak makanan untuk Tuanku Permaisuri, yang akan menjamah makanan kita. Boleh bayang tak macam mana excitednya kita nak masak untuk Tuanku Permaisuri. Bila mana kita dah hidang makanan tersebut, kita melihat makanan itu nak masuk dalam mulut Tuanku Permaisuri dengan dada yang berdebar-debar. Ya Allah, masin sangat ke? Cukup tak garam tu? Terlebih ke? Manis sangat ke?. Berdebar-debar.

Dan sebaik Tuanku Permaisuri makan makanan itu, di saat baginda berkata sedapnya makanan ini, beta suka. Kita pun rasa bahagia tanpa perlu apa-apa penghargaan, tanpa apa-apa balasan dan imbalan daripada tuanku tadi. Cukup dengan pujian, kita akan rasa sangat bahagia. Bukanlah Allah bandingan untuk perkara-perkara yang seumpama ini kerana Allah jauh lebih hebat daripada itu tetapi sebagai suatu bayangan bagaimana bahagia dan indahnya bila kita buat sesuatu, kita persembah untuk Allah SWT.

Ini rahsianya. Rahsia yang barangkali kita tercari-cari bagaimana hendak melalui satu ujian demi satu ujian dalam hidup ini. Berbagai-bagai cara kita ikhtiarkan. Betul kita dituntut untuk berikhtiar, tetapi di dalam hati ini bagaimana?. Dengan itu T yang pertama ialah tauhid. Ikhlaskanlah seluruh kehidupan kita untuk Allah SWT. Barangkali inilah sebagai satu jalan keluar yang terbaik, untuk kehidupan yang lebih cemerlang. Insya-Allah.

Kita lihat bagaimana nabi Ibrahim as dibakar di dalam api, lalu datang Malaikat bertanya kepada nabi Ibrahim. Ada apa-apa yang nak dibantu ke?, ada apa-apa nak minta tolong, permintaan? Nabi Ibrahim pun menjawab; adapun kepadamu tidak ada, tetapi kalau kepada Alllah, ada.

Tengok nabi Ibrahim bezakan! Hatta kepada malaikat pun tidak ada apa nak minta tolong, tapi pada Allah selama-lamanya memohon pertolongan kepada Allah SWT. Ini tauhid. Dan tauhid ini dilihat, dinilai oleh Allah SWT. Dan biasanya orang dapat merasai tahap tauhid yang sebenar bila mana ia betul-betul diuji oleh Allah sehingga tak nampak sebarang bentuk pertolongan kecuali pasrah kepada Allah SWT sepertimana yang dilalui oleh nabi Yunus as.

Apa reflek daripada tauhid ini? Apabila seseorang benar-benar tauhidnya kepada Allah,  insya-Allah dengan sendirinya terbuang , tercabut, tertanggal daripada hatinya penyakit-penyakit hati seperti ujub, riak, keluh kesah dan sebagainya. Sebab dia telah menyerahkan segala apa yang dilakukan, kehidupan ini benar-benar untuk Allah SWT.

Wallahu alam.

Nur Hafizah Musa
UTM

No comments:

Post a Comment