Sunday, December 29, 2013

Melakar akhirat Membaca Dunia : dari kenaikan harga barang

Solusi keluar dari bebanan hidup

Saya pun simpati dengan keadaan di mana kenaikan harga tetapi kita mesti faham konsep dunia tidak ada barang, tidak ada situasi di mana harga akan turun. Memang harga akan naik. Minta maaf kadang ada orang kata saya terlampau optimistik dan tidak memahami apa yang berlaku dek orang yang kurang mampu.

Tetapi pada saya macam ini, bukan apa yang berlaku itu penting tetapi respon kita terhadap apa yang berlaku. Kalau kita guna formula ini, peristiwa yang berlaku campur dengan respon kita menghasilkan hasil kehidupan kita. Kalau peristiwa itu negatif, respon kita negatif hasilnya mesti negatif. Jadi kita guna formula peristiwa negatif, harga barang naik respon kita mesti sangat positif maka hasil positif.

Macamana respon positif? Senang sahaja. Jangan kata kita tidak mampu beli barang itu. Kita tanya soalan, bagaimana untuk saya lakukan. Cuba tengok orang yang kurang rezeki. Cuba nilai diri. Berapa jam masa yang digunakan untuk benda yang produktif. Contohnya jika sebelum ini kita tengok tv satu hari lima jam. Apa kita dapat tengok tv,  drama yang negatif, cerita hantu dan sebagainya. Tidak mendatangkan manafaat. Bagi wanita yang ada bakat, kalau dia pandai buat sesuatu pergi tengok sana boleh buat  Tingkatkan pendapatan dengan benda yang berkat. Online atau buat sambal tumis, kalau orang laki-laki dengan kerja lebih dan sebagainya.

Dan juga dengan mengatur cara kita berbelanja. Keutamaan. Bagi orang yang merokok, merokok itu membakar wang. Jadi kenapa harus merokok juga. Dan juga bagi orang yang berbelanja, cuba audit balik perbelanjaan kita. Bila ke Supermarket, kita beli air gas. Ia satu minuman yang merosakkan badan. Kita beli makanan bergula, ais krim benda yang tidak membina nutrisi kita buang. Maknanya kita atur balik perbelanjaan. Jika tidak boleh meningkatkan gaji, kita kurangkan perbelanjaan yang tidak penting. Banyakkan minum air yang bersih, makanan yang sihat dan jika kita ada rumah kita tanam sendiri.

Ada dua jenis manusia, satu merungut, mengeluh, dia sibuk hidup dari luar ke dalam. Macam-macam alasannya; saya tidak mampu, harga barang naik. Dia sibok mencari faktor di luar daripada faktor dirinya sendiri. Kalau kita tak cukup duit, kita kata kenapa kita tak cukup duit? Kenapa saya dapat kerja yang tak bagus?

Sebab manusia ini apabila diberi duit berdasarkan nilai yang diberi kepada dunia. Kita pekerja, nilai kita beri gaji RM1,000 tetapi kerja macam RM800, tapi kita kita dibayar RM1000 tak berkat duit itu. Tapi kalau gaji RM1,000 kerja macam RM2,000, Allah  akan beri keberkatan RM2,000 itu kepada kita. Ini undang-undang sunnatullah yang perlu kita semua perlu fahami. Apa-apa kita buat, buat yang terbaik sebab Allah paling sayang orang yang paling bermanfaat.

Tekanan ini, sebenarnya bila kita yakin pada rezeki di tangan manusia. Ingat, kita manusia sebenarnya sibok dengan benda yang Allah sudah janji. Apa dia, ulat dalam batu pun ada rezeki. Kita sibok  mengejar benda Allah sudah janji hingga kita lalai pada tanggungjawab kita untuk ubudiyyah atau menyembah Allah. Berapa orang daripada kita solat lima waktu yang cukup, wanita menutup aurat, taat pada suami, jaga pergaulan, jaga akidah, jaga ibadah, jaga akhlak. Kalau kita tak buat apa yang Allah suruh, tak jaga Allah macam mana Allah nak jaga kita. Jadi jangan kalau Allah dah tetapkan rezeki, jangan sibok dengan benda Allah sudah jamin hingga terlupa dengan tanggungjawab kita. Banyak orang yang cuai dengan tanggongjawab, rezekinya tidak berkat. Maka sebab itulah duit tak cukup, kereta rosak, anak sakit.

Siapa yang menentukan anak sakit dan rezeki tidak cukup, kereta rosak?. Semuanya Allah SWT. Sebab itu jaga Allah, Allah jaga urusan kita. Jaga akhirat kita Allah jaga urusan akhirat kita  Kita kejar akhirat, dunia kejar kita. Itu konsep nak hilangkan tekanan. Sebab ingat orang yang tertekan , hanya orang yang ego. Dia rasa semua di tangan manusia. Dan masaalah masyarakat sekarang ialah mereka lebih yakin kepada diri mereka atau manusia lain lebih yakin daripada kuasa Allah.

Bagi orang yang tertekan, saya nak ajar begini. Bangun pagi-pagi, Subhanallah. Langit! Tiada duit pun boleh tengok langit. Boleh bernafas! Kenapa nak susah hati, tiada duit.? Satu lagi orang kurang tenang, ialah orang yang kurang syukur. Nak tahu kita kurang syukur, sebab kurang takwa. Orang takwa tak ada sifat ehsan merasa orang melihatnya. Kenapa tidak ada sifat ehsan. Sebab tidak beriman kepada Rukun Iman seterusnya Rukun Islam. 

Kalau kita tak bersyukur, kita akan mengeluh, merungut. Kalau kita sentiasa bersyukur aura positif magnet kepada benda yang positif. Orang yang mengeluh, auranya mengeluh sentiasa akan ada inproduktif. Lihat orang yang berjaya. Mulut mereka baik atau tak baik? Selalu menghargai, menyebut kebaikan orang, hati bersih, penuh kasih sayang, murah hati!. Orang negatif, orang yang susah; dengki, menyampah, sakit hati, dendam, tamak, takut selain daripada Allah. Ini perkara-perkara lain yang menyebabkan orang tertekan.

Orang nak lempar kita barang sepuloh kilo. Kita bersedia sebelumnya. Orang yang bijak menyelesai masalah. Orang yang genius, dia mencegah masalah sebelum masalah berlaku dengan membuat pesediaan awal. Maknanya sebelum anak dilahir, sudah disediakan tabungan kewangan, fokus pada perbelanjaan yang betul. Sebelum kahwin, dia dah buat perjanjian, misalnya tentang merokok. Bila dah kahwin disuruh berhenti, duit merokok dimasukkan dalam tabung rokok, masuk, masuk. Bila duit dah banyak, macam-macam boleh buat!. Itu cara yang baik.

Satu emosi yang kita tidak boleh ada ialah marah, menyalahkan orang, dendam, sakit hati, fikir negatif, rasa negatif, tindakan negatif akhirnya nasihat saya bersyukur, kasih sayang, murah hati, tolong orang, betulkan diri sebelum betulkan orang. Sebab orang yang berjaya membuat pilihan , orang yang tidak berjaya mencari alasan. Katakan selamat tinggal kepada alasan, insyallah semuanya terjamin. Hilangkan marah, betulkan diri dan doakan kepada orang  yang kita rasa buat silap, jangan kutuk mereka. Jangan ada sedikit pun dalam hati kita benci, tak suka pada orang sebab tidak sempurna iman seseorang jika tidak mengasihi saudaranya.

Oleh itu dengan cara mengubah cara kita melihat kehidupan dengan mencelik hati-hati kita, insya-Allah pada 2014 ini kita hadapi tahun baru dengan azam baru. Bukan azam saja tapi perancangan  baru, cara berfikir pola pemikiran yang berbeza, pola pemakaian berbeza, pola akidah berbeza yang lebih bagus, pola ibadah yang lengkap dan kelembutan akhlak. Insya-Allah jika kita menjaga akidah,ibadah dan akhlak kita akan bahagia dunia dan akhirat

Wallahu alam.

Prof Dr Muhaya Mohamad

Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkan kami sifat qanaah dan berlapang dada dalam meniti hari-hari mendatang. Lindungi kami dalam rahmat dan kasih sayangMu. Dengannya hati-hati kami mendapat petunjuk, berkumpul segala yang bercerai berai dan terhimpun segala yang terpisah, terpelihara dari segala yang merugikan agama, dunia dan akhirat kami. Aameen.

No comments:

Post a Comment