Sunday, December 29, 2013

Penyakit ilmu

Imam Jalaludin al-Mahalli seorang tokoh ulama mazhab Syafi’i. Beliaulah salah seorang penulis kitab tafsir Jalalain yang terkenal. Meskipun beliau seorang ulama besar, namun beliau sangat suka berkhidmat kepada janda-janda tua dan fakir miskin di negerinya. Beliau kerap menunda kelasnya hanya kerana untuk membeli barang-barang dapur untuk mereka di pasar.

Orang mempersoalkan tindakannya itu. Beliau menjawab : Saya telah menghabiskan sebahagian besar umur saya untuk ilmu. Padahal penyakit ilmu sangat banyak. Jarang sekali ada orang yang terselamat daripadanya. Saya berharap Allah mengampuni dosa-dosa saya dengan rutin yang saya lakukan ini. (Diceritakan oleh al-Sya’rani dalam kitab al-Uhud al-Muhammadiah)
 
Pengajaran :

Ilmu memang sesuatu yang sangat bermanfaat bagi manusia. Namun begitu, ilmu boleh memberikan mudarat apabila tidak diiringi dengan kebersihan hati pemiliknya. Antara penyakit yang sangat berbahaya ialah ujub (merasa diri pandai), riyak (suka menonjolkan keilmuannya), sombong, suka berdebat, meremehkan orang lain dan sebagainya.

Sepatutnya golongan ilmuwan hendaklah sentiasa menginsafi diri dan berusaha untuk menjauhkan dari daripada semua penyakit ilmu. Hal ini kerana di akhirat nanti, ilmu itu sama ada menjadi hujah yang membelanya atau hujah yang mendakwanya.

Wallahu a’lam.

Al-Ustaz
Volume 01 Isu no 08, 2012

No comments:

Post a Comment