Monday, July 1, 2013

Pemikiran Tuk Kenali ( 3 )



3. Kezuhudan Tuk Kenali

Beliau pernah ditanya oleh seorang murid tentang kadar yang dibolehkan bagi seseorang menggunakan dunia ini, iaitu sejauh manakah dunia yang dituntut atau diperlukan oleh seseorang Islam?.

Maka dengan tegas beliau menjawab : Ialah sekadar hajat untuk hidup.

Tidak hairanlah, kedapatan Tuk Kenali membentuk hidup sederhana, cukup berpakaian dengan sehelai kain sahaja. Keadaaan seharian bersarung dan berbaju; tetapi Cuma disangkut ke bahu sahaja kecuali di kala bersolat atau hendak menghadiri majlis.

Beliau kerap berkaki ayam di kala berjalan, suka beri’tikaf di masjid, tidurnya kerap berbantalkan lengan sahaja.

Diceritakan pada suatu masa, Sultan Kedah melawat Kelantan. Di hari menyambut ketibaan baginda itu, Tuk Kenali dikatakan dijemput sama menyambut di samping Sultan Kelantan. Bila Sultan Kedah tiba, Tuk Kenali ikut menyambut, di kala Sultan Kedah bersua dengan Tuk Kenali, baginda terus bertanya: Siapakah ini?. Tuk Kenali segera menjawab : Patek ialah Tuk Kenali.Mendengar kata itu, Sultan Kedah pun menyambung: Tuk Kenali masyur di sana... ( kelihatan baginda terkejut sebab melihat Tuk Kenali berpakaian amat sederhana).

Selain itu keadaan Tuk Kenali memeranjatkan juga seorang pegawi pentadbiran Inggeris yang datang melawat Kelantan. Sewaktu hendak pulang ke England, Tuk Kenali juga ada bersama-sama Ke bawah Duli Sultan Ismail yang hendak mengucapkan selamat jalan kepada pegawai tadi. Pegawai bertanyakan pada Sultan : Siapakah orang ini ( di mana pakaiannya amat sederhana) Tuanku?

Maka Sultan menjawab: Beliau adalah seorang alim ilmu bahasa Arab, seorang yang dihormati di negeri ini.

Allahyarham Datuk Hj Ahmad b Ismail (Datuk Lela Negara Kelantan), bekas Penerbit  dan Ketua Pengarang Majallah Al-Hikmah pernah menjelaskan bahawa : Tuk Kenali payahlah hendak disamakan tentang zuhd, wara’ dan khudhu’ (merendah diri)nya, baik daripada tutur-katanya dan pakaiannya. Walhasil ialah seorang yang zahid pada serba-serbinya. Telah 15 tahun saya bercampur dan beramah-ruwah dan meminum madu-madu pengajarannya dengan Allahyarham (sebagai murid), belum pernah saya mendengar satu kalimah pun yang boleh menyakiti pendengaran, lagi tersangat sabar menerima sebarang bala.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

No comments:

Post a Comment