Wednesday, August 13, 2014

Setiap kesilapan dapat diatasi, jika mahu! (1)

PARA BUDIMAN berkata bahawa kesilapan yang dilakukan manusia berbeza-beza. Ada besar. Ada yang kecil. Ada yang nampaknya senang diatasi namun banyak juga yang sukar diatasi.Tetapi ya, tidak kira besar mana kesilapan itu,ianya masih boleh diperbetulkan. Asas utamanya ialah kita mahu memperbetulkan. Waima untuk memperbetulkan kesemua akibat buruk sesuatu kesilapan mungkin mustahil, masih banyak yang boleh diperbetulkan.

Ramai orang yang gagal memperbetulkan kesilapan mereka kerana sangsi akan kebolehan dan kemampuan atau kesabaran mereka untuk memperbetulkannya.Kekadang, cara kita berdepan dengan kesilapan orang lain merupakan sebahagian daripada kesilapan itu sendiri. Contoh yang paling mudah,jika anak kita membuat kesilapan, kita mungkin menyalahkan dia dan memperkecilkan dia. Kemudian memperbesar-besarkan kesilapan dia sehingga dia mula berfikir yang dia telah terjatuh ke perigi buta tanpa jalan keluar! Oleh itu,dia tidak mengharapkan apa-apa peluang untuk dia memperbetulkan kesilapannya, dan dengan itu, tetap dipersalahkan.

Manusia berbeza sifatnya, dan fizikalnya. Mereka juga berbeza dengan pandangan, fahaman dan urusan. Jika kita rasa seseorang telah melakukan kesilapan, maka nasihatilah dia. Betulkan kesilapannya. Tetapi ya jika dia tidak mendengar dan tidakmematuhi nasihat kita, jangan anggap dia seorangdaripada musuh anda. Hadapilah situasi beginidengan secara optimistik, menurut kemampuan anda. Jangan tukar persahabatan menjadi permusuhan.

Hubaya-hubaya, mereka yang mudah meminta maaf adalah orang yang kerap berbuat salah atau silap. Apabila mudah meminta maaf bermakna keraplah dia berbuat silap atau salah. Dari satu sudut sifat ini sangat mulia, tetapi dari satu sudut yang lain ia tidak menggambarkan sikap yang menarik kerana orang yang kerap berbuat silap atau salah seolah-olah tidak pernah belajar. Benar,meminta maaf itu baik tetapi usah terlalu meminta kerana sesuatu yang senang diperolehi lazimnya memang kurang bernilai! Maaf apabila terlalu kerap diminta dan diberi harganya menjadi murah, nilainya menurun.

Katalah, dalam sehari teman kita menyinggung perasaan kita dengan kata-kata yang sama berkali-kali, dan setiap kali pula dia akan meminta maaf kepada kita, apakah kita selesa untuk bersamanya lagi? Apa nak dihairankan, corak kehidupan memang macam itu. Entahlah! Jika awak berjaya di puncak, kemudian ada orang memusuhi dan mencemburui, apa nak hairan.

Wallahu a’lam.

Haji Mohd. Salleh Abdul Latif
Cetusan Minda Bilangan 108
Pelita Brunei  
27 May 2014 

No comments:

Post a Comment