Friday, August 22, 2014

Khutbah Hari Berkabung MH17

Muslim yang diberkati Allah;

Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan di atas masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan  pada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah swt dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah swt di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan hari berkabung negara kita pada hari ini, maka mimbar akan menyampaikan khutbah bertajuk Hakikat Luh Mahfuz.

Muslim yang diberkati Allah;

Sebagai seorang Islam yang berpegang teguh kepada Al-Quran dan Al-Hadis, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui oleh semua manusia. Dalam hal ini Allah swt telah mencatatkannya dalam kitab Luh Mahfuz sebagai tempat untuk menyimpan segala rahsia yang ada di langit dan di bumi dari permulaan zaman hingga ke akhir zaman.

Persoalan besar timbul di sini, apakah yang dimaksudkan dengan Luh Mahfuz itu? Secara ringkasnya, ada ulamak yang menceritakan tentang hakikat  Luh Mahfuz. iaitu ianya merupakan kitab suratan, yang dituliskan qadak dan qadar semua makhluk sebelum dijadikan.  Firman Allah swt  dalam suratul Hajj ayat 70 yang maksudnya : Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya yang demikian itu. ada tertulis dalam kitab Luh Mahfuz. Sesungguhnya hal ini amatlah mudah bagi Allah.

Dan Firman Allah swt lagi dalam suratul Hadid ayat 22 yang bermaksud:  Tidak ada kesusahan yang ditimpakan ke bumi dan yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada di dalam di kitab sebelum kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikan itu adalah mudah bagi  Allah swt.

Menurut Ibni Taimiyah dan Imam AlQutubi dalam tafsirannya bahawa yang dimaksudkan kitab dalam ayat ini ialah Luh Mahfuz. 

Daripada Ibni Mas’ud katanya, bahawa sesungguhnya bila nukfah itu telah mantap dalam rahim, malaikat akan mengambil dan meletakkannya  dalam telapak tangannya sambil berkata: Tuhanku, apakah untuk diciptakan atau tidak diciptakan?.  Jika dijawab, untuk tidak diciptakan iapun tidak menjadi manusia ia akan lebur menjadi darah. Sebaliknya jika dijawab  diciptakan. Malaikat pun berkata, adakah lelaki ataupun perempuan, sengsara atau bahagia, bagaimana ajalnya,berapa umurnya, apa peninggalannya, apa rezekinya, dan di bumi manakah ia akan mati.

Allah swt kemudiannya berfirman : Pergilah ke Luh Mahfuz, di sana kau akan mendapat nukfah itu. Dikatakan kepada nukfah, siapakah Aku siapakah Tuhanmu. Jawabnya, Allah. Ditanyakan pula siapakah yang memberikan rezeki kepadamu, jawabnya Allah. Lalu diciptakan dia  menjadi manusia, hidup bersama-sama keluarga dan makan rezeki yang dikurniakan kepadanya. Jika datanglah ajalnya, ia akan meninggal dan dikebumikan di tempat tersebut.  (Riwayat al-Hakim)

Muslim yang dirahmati Allah;

Berdasarkan ketentuan Allah swt di Luh Mahfuz ini, maka kita sebagai orang Islam mesti yakin dan percaya bahawa kematian merupakan satu perkara yang telah ditentukan. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kayanya seseorang, bagaimana suasana dan caranya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah para nabi-nabi, rasul-rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan Tuhan bahkan manusia yang menjadi kekasih Allah swt pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzah dan hari penghakiman di Padang Masyhar.

Firman Allah swt dalam suratul Nisaa ayat 78  yang maksudnya : Di mana sahaja kamu berada pasti mati mendatangi kamu sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.

Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal dari tanah maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu kejadian yang tidak dapat dielakkan.  Bila seseorang itu mati, ia dikatakan kiamat kecil baginya. Ia dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri manusia, kerana jasadnya menjadi busuk, dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur, kembali menjadi tanah dan ruh telah keluar dari badan manusia. Ruhlah yang menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.

Muslim yang dirahmati Allah;

Mimbar yang mulia ini ingin mengatakan, bahawa  menerima kematian sebagai satu ketentuan Allah swt mengandungi banyak hikmah. Antaranya ialah pertama, dapat memperkukuhkan keimanan dan menimbulkan rasa takwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah swt dan meninggalkan segala laranganNya. Ibni AlQayyim berkata : Allah swt menjadikan pusingan alam ini sebanyak tiga pusingan iaitu alam dunia, alam barzah dan alam akhirat yang kekal abadi. Pada setiap alam ini, ada hukumnya yang tersendiri. Percayalah bahawa, Allah swt menentukan sesuatu kejadian itu dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah.

Memetik kata-kata hikmah yang pernah dilontarkan oleh Junaid AlBaldadi bahawa bala dan bencana adalah pelita bagi orang yang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun mendapat manisnya iman, sebelum ia ditimpa ujian dengan redha dan bersabar.

Kedua, dapat menambahkan keteguhan hati dan kesabaran. Mereka yang memiliki keteguhan hati dan kesabaran yang tinggi tidak akan berputus asa, Tindakannya selalu tenang tanpa terburu-buru ataupun bimbang kerana mereka sedar bahawa segala ketentuan perjalanan hidup ini hak mutlak Allah swt.

Renungilah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah ra  bahawa rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa diri seorang muslim, samaada yang berupa kesusahan , penderitaan, kesedihan dan kedukaan ataupun penyakit bahkan kerana sepotong duri yang mencucuk kakinya yakni anggotanya melainkan dihapuskan oleh Allah swt dengan itu sebahagian daripada kesalahannya.
Ketiga, lahir perasaan tanggungjawab, hendak membimbing diri dan keluarga supaya bersungguh-sungguh beramal dan berbuat kebajikan dalam menuntut keredhaan Allah swt serta timbul rasa kasih sayang serta mahabbah sesama manusia khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat. Percayalah bahawa, kita sebagai manusia diikat dengan satu perasaan kasih sayang. Oleh sebab itulah setiap kali kita ditimpa musibah kematian maka hati kita tercuit dengan kesedihan dan kepiluan.

Diriwayatkan daripada Usamah b Zaid rahu katanya kami sedang berada di sisi rasulullah saw, ketika salah seorang dari puteri baginda menyuruh seseorang untuk memanggil baginda dan memberitahu bahawa anak lelaki puteri baginda itu berada dalam keadaan nazak, lalu rasulullah saw kepada orang suruhan itu : Kembalilah kepadanya, dan katakanlah  bahawa yang diambil oleh Allah itu adalah milikNya dan siapa yang diberi oleh Allah juga milikNya, segala sesuatu di sisinya akan berakhir. Mintalah supaya beliau bersabar dan berserah kepada Allah.

Orang suruhan itu kemudian kembali mengadap rasulullah saw  dengan berkata dia  berjanji akan menunaikan pesanan itu. Kemudian rasulullah saw berdiri diikuti oleh Saad b Ubaidah dan Muaz b Jabbar rahu lalu diangkat kepada rasulullah saw dan diserahkan anak dari puteri baginda yang nafasnya masih tersekat-sekat seolah-olah ia berada dalam suatu qibbah yakni bekas air yang lusuh. Kedua-dua mata rasulullah saw mulai berlinangan. Saad bertanya : Apakah ertinya ini wahai rasulullah?. Rasulullah saw lalu bersabda: Ini adalah rahmat, yakni belas kasihan yang diletakkan oleh Allah swt di hati hamba-hambaNya. Sesungguhnya Allah mengasihi hamba-hambaNya yang mempunyai rasa belas kasihan.  (Riwayat Muslim)

Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar AlSidiqq rahu ketika berhadapan dengan kewafatan nabi saw.Beliau memujuk saidina Umar rahu yang masih terkejut dengan pemergian nabi saw seraya berkata:  Ketahuilah yang menyembah Muhammad saw,  maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah maka  sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.

Muslim yang dirahmati Allah;

Sebagaimana yang kita ketahui, hari ini 22hb Ogos 2014 pihak kerajaan kita telah mengisytiharkan Hari Berkabung Negara sebagai penghormatan berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines MH17  di Timur Ukraine. 

Oleh itu mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa hendaklah bendera Malaysia dikibarkan  separuh tiang di seluruh negara. Marilah sama-sama kita melaksanakan solat jenazah secara ghaib di tempat masing-masing. Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan kepada saudara mara dan sahabat handai kita yang telah pergi meninggalkan kita dalam tragedy MH17. Kita mendoakan semuga roh mereka dan rahmat dan kasih sayang Allah swt . Kepada seluruh kaum keluarga mangsa tragedy MH17 kita ucapkan takziah. Kita juga mendoakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedy ini. Kita doakan semuga agar negara dijauhkan dari segala mala petaka dan kehancuran, dikekalkan nikmat keamanan, tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum,kukuhkan perpaduan di kalangan  mereka semuga sentiasa hidup aman damai, menikmati kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman.

Sesungguhnya setiap yang hidup itu mesti akan mati. Walau pun di mana jua kita berada, sama ada di darat, laut atau pun di udara.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah kita sama-sama kita merenungi Firman Allah swt dalam suratul Luqman ayat 34 yang bermaksud : Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang  hari kiamat dan Dialah juga yang menurunkan hujan dan yang mengetahui tentang apa yang ada dalam rahim yakni ibu mengandung dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada dapat diketahui oleh seseorang itu bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi pengetahuanNya.

Wallahu a’lam.

Tan Sri Dato’ Shaikh Ismail b Muhammad al-Hafiz
Masjid Putrajaya
22 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment