Monday, August 11, 2014

Di bawah langit merah aku ingin berdoa

Tuhan
ketika Abrahah melanda Mekah
dengan seangkatan gajah
dan Abdul Mutalib tiada kuasa
melindungi Kaabah
Kau menitah selangit Ababil
merejam batu
Abrahah dan gajah hancur jadi debu

Ketika Rameses memburu Musa
dengan tentera berkuda
dan Musa terkepung di Laut Merah
Kau membelah laut
memberi laluan
Rameses dan tentera karam
ditelan lautan.

Ketika Sharon meranap Palestin
Yasser kehabisan peluru
dan ketika Olmet melebur Lubnan
dan Hizbullah bermandikan darah
Netanyahu kembali menghancur Palestin
lelaki ditembak wanita digasak
dan anak-anak menjerit keperitan
siapa dating membantu?

Maka!
Bush dan Blair menghina Islam
dan Obama menongkat Zionis
dengan seangkatan padah
yang bujur lalu melintang patah.

Wahai langit cerah
dan laut yang biru
masih ingatkah kau lagi
pada doa Abdul Mutalib
pada doa Musa yang mustajab itu?

Dengan semustajab doa
aku ingin berdoa
memohon Kau Tuhan
membantu Islam yang lesu
bersekian.

Hashim Yaacob
Petaling Jaya  Selangor
Mingguan Malaysia
10 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment