Thursday, November 14, 2013

Satu tindakan lebih berguna dari seribu cakap-cakap

Hikmat 46

Sepanjang hari, beribu-ribu, bahkan berjuta-juta cakap kosong beredar dari mulut ke mulut di mana-mana sahaja. Sayangnya tindakan tidak sampai pun menjejak angka ratus. Mengapa begitu? Kerana cakap adalah percuma: lidah tak bertulang, sedangkan tindakan bukan percuma.

Jangan lupa, perhatikan juga kepada orang yang suka bercakap, beribu-ribu cakap, tindakannya adalah kosong. Nisbah yang sama sekali tak seimbang. Kalau cakap 1000 tetapi tindakannya  500 masih boleh diterima, tetapi kalau 1000 nisbah 0, akhirnya sepanjang hayat memang hanya suka bercakap-cakap sahaja.

Cakap-cakap tidak membawa apa-apa kebaikan melainkan keburukan yang sentiasa berlanjutan. Keburukan utama ialah ketakutan untuk bertindak. Benar, orang yang beribu-ribu cakapnya sentiasa takut hendak bertindak kerana bimbang tidak seperti apa yang dicakap. Kerana itu, sebagaimana yang anda lihat, orang yang hebat cakapnya, kosong tindakannya. Itulah hakikatnya.

Sebaik-baik manusia adalah kosong cakapnya, 1000 tindakannya. Tapi ini adalah seakan mustahil. Bagaimana kalau masih tak boleh mengurangkan cakap-cakap? Jadikan ia seimbang. Sekurang-kurangnya setiap 1000 cakap, mestilah 500 tindakan. Yang terbaik ialah, 1000 tindakan 1 cakap-cakap. Walaupun sukar menemuinya, bahkan hampir kepada tidak ada, tetapi itulah yang sebaik-baiknya.

OLeh sebab cakap-cakap lebih banyak merosak dari membina, sebaik-baiknya tak payahlah cakap-cakap kalau nak buat sesuatu. Buat terus tanpa cakap-cakap adalah cara orang yang bijak. Jangan diri sendiri yang merosakkan diri sendiri – melalui cakap-cakap tanpa tauladan.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006

No comments:

Post a Comment