Thursday, November 28, 2013

Jatuh bangun perkara biasa jatuh tak bangun-bangun itulah luar biasa

Hikmat 91

Bila anda mengimbas semula orang-orang yang gigih dan berjaya anda akan melihat bagaimana mereka telah mengalami jatuh bangun yang kerap, bahkan ada kalanya begitu kerap. Proses jatuh bangun itu dianggap biasa kerana melaluinya manusia terutamanya mendapat pendidikan yang amat penting dan boleh digunakan untuk menjayakan langkah-langkah seterusnya. Manusia yang bijak adalah manusia yang belajar dari kesilapan dan kejayaan sendiri juga kesilapan dan kejayaan orang lain.

Oleh sebab kerap, maka ia sudah menjadi biasa, sudah tidak terasa. Jatuh bangun adalah perkara biasa dan terlalu kerap terjadi. Ia menjadi luar biasa bila jatuh kemudian tak bangun-bangun. Ia benar-bear bertentangan dengan fitrah semula jadi manusia. Lihatlah kepada bayi, mereka akan berusaha sedaya-upaya untuk bangun.Tidak malukah orang dewasa kepada bayi? Kenapa jatuh tak bangun-bangun?

Ia dikategorikan sebagai luar biasa kerana menentang arus dan menentang fitrah. Ramai di kalangan kita yang berkali-kali jatuh, kemudian bangun semula, hinggakan tercipta peribahasa Jepun; 7 kali jatuh, 8 kali bangun. Negara Jepun pada suatu masa dulu mukan sekadar jatuh tetapi musnah, namun beberapa tahun kemudian bangun semula akhirnya menjadi penakluk ekonomi dunia. Apa yang utama di sini? Kemahuan yang kuat untuk bangun semula. Juga kesedaran penting, apa yang akan diperolehi dari menyerah kalah dan tersungkur ini? Benar, apa agaknya yang diperolehi dari terjatuh tak bangun-bangun itu hingga menyebabkan terlibat dalam keadaan luar biasa – jatuh tak bangun-bangun.

Memang tidak ramai yang kekal jatuh tanpa bangun semula. Kerana itu dikatakan sebagai luar biasa. Ada banyak sebab mengapa tidak bangun semula. Antaranya yang paling penting ialah dikuasai oleh takut, hilang kepercayaan kepada diri sendiri. Percaya akan mengalami kegagalan yang sama jika bangun memulakan semula. Itulah punca utama. Jika seandainya faham bahawa jatuh bangun adalah proses yang sangat penting dalam pendidikan dan keperluan dalam mencapai kejayaan pasti tidak memperdulikan takut, tiada keyakinan dan sebagainya. Pasti akan terus bangun semula dan memulakan semula.

Jatuh kemudian bangun, lakukan semula. Mungkin anda tidak perlu berkali-kali jatuh bangun, cukup sekali dua. Alangkah sia-sianya hidup jika jatuh kemudia tak bangun-bangun.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

No comments:

Post a Comment