Friday, November 22, 2013

Hanya sahabat karib akan menegur bila muka anda kotor

Hikmat 62

Untuk menilai sama ada seseorang itu sahabat atau kawan, lihat pada sikap dan tingkah lakunya. Bukan sahabat sejati hanya memuji dan mengampu dengan bermaksud. Sahabat sebenar jarang memuji. Kalau memuji pun adalah untuk memberi galakan. Sahabat sebenar kalau mengkritik disertakan dengan penyelesaian. Bukan sahabat sejati (sekadar kawan) tidak pernah mengkritik. Kalau mengkritik pun tidak disertakan dengan penyelesaian – hanya sekadar mengkritik.

Sahabat sebenar, sejati adalah sahabat yang akan menegur anda bila anda melakukan kesilapan. Tegurannya bukan saja-saja tetapi kerana sayangkan anda. Hanya sahabat sebenar akan menegur bila anda melakukan kesilapan. Kawan, bukan sahabat sebenar tidak akan menegur bila anda melakukan kesilapan. Itulah bezanya sahabat sebenar dengan kawan. Kawan boleh hilang bila anda ditimpa kesusahan. Sahabat akan kekal bersama anda semasa anda susah atau senang. Berhati-hatilah, jangan tersilap memilih sahabat.

Sahabat adalah seorang yang tahu segala-galanya tentang diri anda, yang baik dan buruk tetapi masih lagi bersama anda. Kawan pula tidak akan bersama anda lagi jika mengetahui yang buruk tentang diri anda. Kawan hanya suka yang baik sahaja mengenai anda. Kalau pun masih bersama anda, ia mungkin hanya hipokrit.

Anda memerlukan sahabat yang sejati dan setia. Sesungguhnya mencari kawan lebih mudah dari mendapat sahabat. Seratus orang kawan tidak akan menyamai seorang sahabat.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

No comments:

Post a Comment