Thursday, November 28, 2013

Kayu bengkok tidak menghasilkan bayang-bayang lurus

Hikmat 92

Warisan hikmat ini sama dengan peribahasa Melayu, ibarat ketam hendak mengajar  anaknya berjalan lurus. Dan peribahasa Turki, ikan membusuk bermula dari kepala. Kalau pemimpinnya bengkok, bolehkah pengikutnya lurus? Mudah saja. Kalau kepala kereta api melencong, adakah gerabak akan lurus?

Pemimpin memang selalunya di depan, sebab itu imam sembahyang bersda di depan, bukan belakang. Pemimpin menjadi pemimpin kerana dia lebih tahu. Betul begitu? Tidak seratus peratus betul. Ada juga pemimpin yang melantik dirinya sendiri menjadi pemimpin – memimpin secara bengkok tetapi mengharapkan pengikutnya menjadi lurus.

Mengapa lebih ramai yang menjadi pengikut berbanding pemimpin? Kerana pemimpin mempunyai tanggungjawab yang sangat berat. Risikonya tinggi walaupun ganjarannya belum tentu tinggi. Walau apa pun alasan, kita semua adalah pemimpin. Kita dilahirkan sebagai pemimpin kepada adik-adik, rumah tangga, keluarga, masyarakat, perniagaan, sahabat-sahabat dan lain-lain lagi. Bolehkah pengikut menjadi lurus dan tetap jika pemimpinnya bengkang bengkok, tak tentu arah dan melompat-lompat? Bolehkah pengikutnya menjadi baik jika pemimpinnya sentiasa menyemaikan benih-benih keji. Apa yang akan tumbuh di kalangan pengikut jika pemimpinnya sentiasa menaburkan benih kejahatan? Bolehkah benih kejahatan menghasilkan pokok kebaikan?

Makna lain pula – jika usaha anda tidak tepat, bolehkah mendapat hasil yang tepat sebagaimana yang dikehendaki? Kita hendakkan 100 tetapi usaha kita bengkang-bengkok tidak tetap ke arah 100 itu, bolehkah kita mendapat 100 itu. Perolehan adalah berdasarkan usaha. Usahanya bengkang bengkok bolehkah menghasilkan perolehan yang lurus?

Kadang kadang kita tidak menyedari perkara ini. Kita berbuat sesuka hati. Ia semua hanya disedari bila terlihat hasilmya. Bila melihat hasilnya tidak seperti yang diharapkan barulah kita menyedari bahawa kayu yang bengkok tidak boleh menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Jadi bagaimana? Mudah sahaja- perhatikan, perhatikan usaha anda, sentiasa mengingatkan kepada diri, seandainya usaha saya ini hebat, bolehkah menghasilkan perolehan yang hebat?

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

No comments:

Post a Comment