Wednesday, November 20, 2013

Pokok besar bermula dari benih halus.

Hikmat 52

Lumrah alam ini, kehidupan yang bernyawa bermula dari kecil. Pokok misalnya, tidak tiba-tiba terus besar. Pokok yang paling besar sekali di dunia ini pun bermula dari benih yang kecil, halus.

Apa pengajarannya? Janganlah tiba-tiba hendak terus besar. Melainkan anda berkemampuan, boleh terus besar, walaupun risikonya adalah tinggi. Sebaik-baiknya bermula dari kecil atau sederhana. Bermula terus besar akan menimbulkan banyak masalah. Jika mampu dari segi kewangan bagaimana pula dengan keperluan lain seperti pengetahuan, pengalaman dan lain-lain? Berbanding jika bermula dengan kecil atau sederhana – sambil membina sambil mengumpulkan pengetahuan, pengalaman dan modal.

Bagaimanapun, yang kecil kekal kecil jika tidak menuju ke arah besar. Yang pasti, dari kecil terus lenyap jika tidak dijaga dengan baik. Seperti anak benih, tumbuh tunas, anak pokok, pokok kecil, pokok besar – prosesnya bertahun. Namun tak mungkin benih tumbuh tunas jika tidak ditanam kemudian dijaga, disiram dan dibajai. Inilah saat paling kritikal di mana jika tidak memberi perhatian, benih tidak tumbuh tunas, tidak mendi anak pokok dan seterusnya pokok kecil. Bahkan sehingga peringkat pokok kecil pun masih perlukan perhatian serius. Melainkan sesudah menjadi pokok besar, akar, batang rantingnya yanh kuat, barulah kurang sedikit perhatian.

Pokok yang besar bermula dari benih yang kecil halus . Tapi ingat, tak semestinya benih boleh menjadi pokok pada suatu hari. Penjagaan dan perhatian yang serius amat diperlukan semasa menanam anak benih.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

No comments:

Post a Comment