Thursday, November 14, 2013

Bercakap kebaikan tidak membawa kebaikan, melakukan kebaikan membawa kebaikan

Hikmat 45

Bercakaplah seribu kali fasal kebaikan – ia tidak akan membawa kepada kebaikan. Maksudnya bukan bercakap perkara-perkara kebaikan sebaliknya bercakap beribu-ribu kali konon hendak membuat kebaikan tetapi hanya cakap saja. Ia tidak akan membawa kepada kebaikan sebaliknya boleh membawa kerosakan. Ia akan hanya merosakkan diri sendiri Sebagaimana yang anda tahu bahawa cakap-cakap tetapi tidak dilaksanakan akan hanya merosakkan diri sendiri.

Berbuat kebaikan sebenarnya yang membawa kepada kebaikan. Tak perlulah bercakap besar konon hendak berbuat berbagai-bagai kebaikan – bina masjid, bina rumah anak yatim, membantu orang susah tetapi sampai sudah ia hanya cakap-cakap kosong yang diucapkan mungkin untuk menaikkan imej diri, untuk membohongi ramai supaya dipandang mulia.

Sesungguhnya perbuatan atau tindakan kebaikan yang dianggap kecil sejuta kali lebih baik dari bercakap besar fasal hendak berbuat kebaikan. Membuang duri dari jalan, mengutip sampah dan memasukkan ke dalam tong sampah, membantu orang buta melintas jalan adalah jauh lebih baik dari cakap berdegar-degar tentang kebaikan tetapi tidak pernah sekalipun mengambil langkah pertama untuk melaksanakan apa yang diucap.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006

No comments:

Post a Comment