Sunday, November 17, 2013

Belajar kesilapan diri dan orang lain

Tabiat 15

Berubah atau tidak mahu berubah adalah satu pilihan. Sekiranya ingin berubah, bagaimana susah sekali pun ia tetap boleh berlaku dan boleh dilakukan. Allah akan menunjukkan jalan dan caranya. Telah ramai orang yang telah diberi hidayah oleh Allah untuk membuat perubahan. Hidayah Allah tidak kira siapa, di mana dan bila-bila masa. KehendakNya lebih utama daripada kehendak manusia dan makhluk lain. Adakah perubahan itu berlaku secara tiba-tiba atau mengambil masa?

Dulu saya belajar di negara barat, hidup mengikut budaya mereka. Apabila saya mendekati Allah, barulah saya tahu perbuatan saya selama ini sebenarnya salah. Terus saya tinggalkan, bukan mengambil masa atau jangka masa tertentu untuk berubah. Saya tidak boleh perlahan. Kalau perlahan, saya tak tahu sama ada sempat ataupun  tidak. Kita pun tidak tahu, bila kita akan mati. Apabila timbul kesedaran, buang terus zaman lampau kita, jangan ada rasa cinta pada kehidupan lama kita yang sesat.

Cat Stevens atau Yusuf Islam, seorang penyanyi terkenal tahun 1960an dan 1970an mengambil pendekatan itu. Beliau menjadi muslim pada tahun 1978 setelah mengalami pengalaman aneh mengenai kematian. Kini beliau menetap di London bersama-sama isteri dan lima anaknya sebagai pendakwah. Yayasan kemanusiaan Small Kindness yang diasaskannya membantu mangsa-mangsa kelaparan di Afrika, anak-anak yatim di Bosnia-Herzegovina, Indonesia dan Iraq. Segala-galanya berkat hidayah daripada Allah swt.

Perubahan yang cepat dan segera tidak selalu muncul. Anda patut melihat dan memerhati bagaimana ramai orang telah berubah. Mereka juga  melakukan kesilapan, malah lebih teruk daripada anda tetapi mereka mahu berubah. Akhirnya, mereka menjadi lebih baik dan dikenali ramai.

Wallahu alam.

19 Tabiat Kuasa Perubahan
Zahir Zainudin & Amaludin Ab Rahman, 2008

No comments:

Post a Comment