Friday, November 29, 2013

Selagi bernyawa, selagi itu ada harapan

Hikmat 100

Hidup manusia adalah pada nyawa dan masa. Sampai masa, tamat tempoh, nyawa melayang, kita kembali menghadap Allah swt dengan membawa amalan (baik dan jahat). Tapi, sebelum tamat tempoh, selagi masih bernyawa, selagi itulah masih ada harapan. Bahkan sesaat sebelum tamat tempoh, masih ada lagi harapan.

Maknanya, jangan sekali-kali mengatakan harapan sudah tamat, selagi jantung masih berdenyut. Jangan putus asa selagi masih bernafas. Sentiasa ada jalan, sentiasa ada cara selagi masih bernyawa dan selagi ia dicari.

Tapi malang sekali, kebanyakkan manusia di sekeliling kita mati sebelum kematian sebenar. Akal, pemikiran, fizikal sudah mati ketika jantung masih berdenyut seperti biasa; ketika nyawa masih ada dan ketika fizikal dan mental masih sihat walafiat. Bila ditanya hanya menggeleng – mana ada harapan lagi,katanya. Kata-kata yang membunuh diri sendiri dan orang lain yang mendengarnya. Memanglah tidak akan ada harapan sebab itu yang diprogram dan disetkan ke dalam minda. Ada harapankah jika yang dimasukkan ke dalam minda ialah tiada harapan? Tentulah sepanjang masa hanya memikirkan dan mencari-cari mustahil dan tidak boleh.

Zaman dulu, orang berkata; masa itu emas. Kini sudah tidak sesuai lagi. Masa adalah nyawa dan kehidupan. Maknanya, kehidupan ini ada tempohnya – sampai masa tamatlah nyawa, bersama dengan tamatlah harapan, impian, cita-cita. Hidup dan kehidupan kita hanyalah pada masa yang ditetapkan. Kerana itu, selagi masih bernyawa, selagi itulah ada harapan.

Bagaimanapun, sebagaimana manusia-manusia berjaya sebelum kita – mereka tidak hanya mengharap dan berharap. Harapan yang masih ada tidak disia-siakan untuk mengusahakan apa yang sepatutnya diusahakan. Hanya sekadar mengharap dan berdoa sahaja, tanpa usaha mati-matian adalah sama saja dengan mati sebelum kematian.
Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

No comments:

Post a Comment