Friday, November 15, 2013

Nasihat untuk doktor dan tabib

Rawatan keimanan

Selamat datang buat saudara rapatku! Wahai doktor bahagia yang diberikan petunjuk untuk merawat penyakitnya sendiri! Kebangkitan kerohanian yang dikhabarkan melalui surat saudara yang ikhlas, amat melayakkan saudara untuk menerima ucapan tahniah dan rasa kebanggaan.Wahai saudaraku! Ketahuilah bahawa kehidupan adalah merupakan sesuatu yang paling bernilai di alam wujud ini. Segala perkara yang memberikan khidmat kepada kehidupan yang kekal abadi merupakan tugas paling bernilai dalam kehidupan ini.

Ketahuilah bahawa intisari, nilai dan pati kehidupan ini yang paling penting tersembunyi pada kedudukannya yang merupakan benih, pemula dan pencetus bagi kehidupan yang abadi. Hinggakan jika kita mempunyai konsep yang bertentangan dengan hakikat ini, iaitu dengan kita membataskan segala usaha dan ilmu hanya untuk kehidupan yang fana ini, maka ia merupakan kerosakan yang paling dahsyat kepada kehidupan yang abadi. Ia hanya berlaku dengan sifat kegilaan dan kebodohan yang melampau, sebagaimana seseorang yang sanggup menukar sambaran cahaya kilat dengan cahaya matahari yang berkekalan.

Pada hakikatnya, para doktor yang alpa tentang akhirat dan tenggelam dalam lumpur material merupakan orang yang paling teruk mengalami kesakitan. Tetapi jika mereka berjaya menjalani rawatan keimanan daripada farmasi Al-Quran dan Al-Sunnah lalu mengambil beberapa dos ubatan yang dapat menghapuskan racun penyakit yang ada dalam badan, maka mereka tidak hanya mengubati kelukaan kemanusiaan yang ada pada diri mereka sahaja, bahkan mereka juga menjadi penyebab kepada penyembuhan kelukaan manusia keseluruhannya.

Kami bermohon kepada Allah swt agar kebangkitan kerohanian saudara menjadi penyembuh kepada luka yang saudara alami, bahkan saudara sendiri menjadi contoh yang hidup dan qudwah (ikutan) yang baik di hadapan pandangan para doktor yang lain serta  menjadi ubat kepada penyakit mereka.Saudara pasti tidak ragu lagi tentang kepentingan memasukkan perasaan gembira ke dalam hati seorang pesakit yang sudah kecewa dan berputus asa daripada cahaya pengharapan.

Memasukkan kegembiraan itu mungkin lebih penting dan berfaedah baginya daripada memberikan ribuan jenis ubatan yang lain. Tetapi para doktor yang tenggelam di dalam paya material yang tabi’i hanya akan menambahkan perasaan kecewa yang mendalam kepada para pesakit, hingga seluruh kehidupan menjadi hitam pekat di hadapan mereka.

Tetapi kebangkitan kerohanian saudara akan menjadikan saudara, dengan izin Allah, paksi kegembiraan dan hiburan bagi para pesakit itu dan orang-orang yang seumpama mereka. Kebangkitan kerohanian saudara juga akan menjadikan saudara sebagai seorang doktor hakiki yang memancarkan cahaya ke dalam hati dan menyebarkan kegembiraan ke dalam jiwa. Adalah dimaklumi bahawa umur manusia amat pendek, sedangkan tugas yang mesti dilaksanakan amat banyak. Oleh itu, kewajipan lebih banyak daripada waktu yang ada.

Jika saudara memeriksa maklumat-maklumat di dalam otak saudara, sebagaimana yang aku lakukan, saudara akan dapati ada di antara maklumat-maklumat tersebut yang tidak berfaedah dan tidak penting. Ia adalah maklumat yang remeh, sama seperti timbunan saki baki kayu api yang sudah tidak berguna. Aku juga pernah melakukan pemeriksaan seumpama ini, lalu kudapati banyak di antara maklumat itu tidak berfaedah dan tidak penting.

Ya, tidak dapat tidak, kita hendaklah mencari rawatan dan wasilah yang membolehkan kita menjadikan maklumat ilmiah dan pengetahuan falsafah itu berguna, berfaedah, bercahaya, hidup berdegup dan memberikan faedah dan manfaat. Saudara hendaklah tadharru’ kepada Allah dan berdoa kepadaNya agar mengurniakan kepada saudara kebangkitan kerohanian yang dapat menyucikan dan membersihkan pemikiran saudara demi kerana Allah swt semata-mata.

Kebangkitan kerohanian itu juga akan membakar timbunan kayu api agar mengeluarkan cahaya dan menukarkan pengetahuan ilmiah yang dulunya tidak mempunyai faedah kepada pengetahuan Ilahiyyah yang mempunyai nilai dan harga yang tinggi.

Sahabatku yang pintar!

Sesungguhnya hati amat suka agar beberapa orang yang telah memiliki jiwa yang suci bersih dapat mara ke hadapan, iaitu mereka yang terdiri daripada ahli ilmu yang mempunyai perasaan kerinduan yang mendalam kepada cahaya keimanan dan rahsia Al-Quran.

Oleh kerana surah ini mampu berbicara dan berdialog dengan perasaan dalaman saudara, maka janganlah saudara menganggapnya hanya sebagai surat khusus daripadaku untuk saudara sahaja. Bahkan hendaklah saudara menganggap setiap perkataan yang terkandung di dalamnya sebagai risalah yang ditujukan kepada saudara daripada seorang pebdakwah yang menyeru dan menunjukkan kepada Al-Quranul-Karim

Ambillah risalah ini sebagai preskripsi ubatan yang ditulis oleh seorang doktor, yang dikeluarkan daripada farmasi Al-Quran. Dengan itu, saudara akan membuka satu majlis yang luas dan mulia di alam ghaib, iaitu satu majlis yang diberkat.

Wallahu alam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit

No comments:

Post a Comment