Friday, November 29, 2013

Jangan tunggu esok kalau boleh dibuat hari ini

Hikmat 99

Mengapa tunggu esok, sedangkan boleh dilakukan hari ini? Apa yang menyebabkan bertanguh dan menunggu hari esok untuk melaksanakannya sedangkan boleh dilaksanakan hari ini?

Warisan hikmat dari saidina Ali ini amat berkesan sepanjang zaman. Bila terasa hendak bertangguh, ulangi kata-kata hebat dari sahabat dan menantu rasulullah saw ini. Dengan serta merta anda tersedar dan terus melakukan apa yang semestinya dilakukan hari ini tanpa menunggu hari esok. Kalau keperluan asas seperti makan, minum, tidur mengapa tidak ditangguhkan sampai esok? Mengapa kalau usaha yang boleh meningkatkan kualiti hidup perlu ditangguhkan dan menunggu esok baru dilakukan? Adakah ia tak sepenting makan, minum, tidur dan seumpamanya? Inilah kesilapannya – semua perkara yang boleh membawa kepada kejayaan hidup di dunia dan akhirat adalah penting, sama penting dengan keperluan asas.

Tahukah apa yang akan terjadi pada hari esok? Tahukah nyawa kita ini masih ada lagi pada hari esok? Jadi, mengapa tidak memanfaatkan masa yang masih ada pada hari ini untuk melakukan apa yang semestinya dilakukan hari ini. Jika ditangguhkan menjadi esok, bagaimana dengan tugas esok pula? Ditangguhkan juga kepada lusa? Kerja lusa? Kerja minggu depan, bulan depan, tahun depan? Akhirnya sepanjang hayat bertangguh.

Tentu ada sebab mengapa perlu bertanguh. Sama ada ia sebab atau alasan ia mesti diatasi agar tidak melakukan esok apa yang boleh dilakukan hari ini. Tapi pada kebanyakkan masa dan manusia, ia adalah alasan semata-mata. Satu alasan akan menarik alasan lain. Sekali bertangguh akan seronok terus bertanguh.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006

No comments:

Post a Comment