Friday, November 15, 2013

Pencapaian Am UPSR 2013

Banyak negeri capai peningkatan  :

KUALA LUMPUR – Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 yang diumumkan hari ini dengan menunjukkan peningkatan dalam jumlah dan peratusan murid yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. Selain Sarawak, negeri yang mencatat peningkatan ialah Terengganu dan Pulau Pinang manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak mencatatkan penurunan.

Di KUALA LUMPUR, seramai 2,108 calon mendapat gred A bagi semua mata pelajaran yang mencatatkan penurunan 0.5 peratus berbanding 2,467 calon tahun lepas, kata Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Abdullah Mad Yunus. Beberapa mata pelajaran mencatatkan penurunan antaranya Matematik, Sains, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil selain 495 calon daripada 21,403 mendapat keputusan gagal, katanya.

Beliau berkata keputusan tahun ini mencatatkan peningkatan dalam jumlah murid yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya C bagi semua mata pelajaran kepada 14,791 orang berbanding 13,797 orang tahun lepas.

Di KUCHING, 1,916 daripada 42,904 calon UPSR Sarawak mencatat keputusan semua A iaitu peningkatan sebanyak 0.09 peratus berbanding tahun lalu, kata Pengarah Pendidikan negeri Datuk Abdillah Adam.

Di GEORGE TOWN, sebanyak 2,722 atau 11.6 peratus dari 23,562 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin.Beliau berkata keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.11 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,752 murid daripada 26,370 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.Pada keseluruhannya, sebanyak 15,996 murid atau 68.55 peratus mencatat sekurang-kurangnya gred C dalam keseluruhan mata pelajaran  dan jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus berbanding 17,904 murid tahun lepas, katanya.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 3,039 daripada 21,701 calon cemerlang dengan memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang mencatatkan peningkatan kepada 14 peratus berbanding 13.22 peratus tahun lepas.Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu Zakaria Hussin berkata Sekolah Kebangsaan (SK) Chalok Model Khas, Setiu pula merupakan sekolah terbaik  berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.14 apabila tujuh daripada sepuluh calonnya mendapat 5A.

Di IPOH, sebanyak 3,249 atau 8.49 peratus daripada 38, 248 murid yang menduduki UPSR di Perak lulus cemerlang dengan memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Muhammat Roli Hassan berkata berkata peratusan calon yang mencapai tahap penguasaan minimum (A,B,C) bagi semua mata pelajaran  menurun daripada 63.77 peratus pada tahun ini, berbanding 65.10 peratus tahun lepas. Sekolah yang paling banyak calon memperolehi A dalam semua mata pelajaran ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent, Ipoh (66 calon), Sekolah Jenis Kebangsaan Yuk Choy (45), Sekolah Kebangsaan Marian Convent (41), Sekolah Kebangsaan Tasik Damai (32) dan Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist (35), katanya.

Di JOHOR BAHRU, calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 9.62 peratus berbanding tahun lepas 9.07 peratus dan peningkatan sebanyak 0.55 peratus. Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A. Ghani berkata SK Bandar Uda 2 dan SK Infant Jesus Convent merupakan sekolah paling ramai calon cemerlang iaitu 79 dan 73 calon mendapat A dalam semua subjek.

Di AYER KEROH, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata negeri itu mencatatkan keputusan UPSR kedua terbaik selepas Putrajaya dengan pencapaian gred purata negeri (GPN) 2.13 berbanding 2.17 tahun lepas.Pencapaian calon cemerlang iaitu mendapat semua A juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus tahun ini kepada 10.4 peratus melibatkan seramai 1,433 pelajar, katanya. Beliau berkata antara sekolah itu ialah SJK (T) Ladang Serkam, SK Convent of The Infant Jesus 1 dan 2, SK St Francis, SK Chenderah dan SJK (C) Yok Bin.

Di SEREMBAN, Pengarah Pendidikan Negeri Kalsom Khalid berkata Negeri Sembilan mengekalkan kedudukan kedua terbaik peringkat kebangsaan dalam pencapaian keseluruhan UPSR 2013 dengan GPN 2.13 berbanding 2.14  tahun lepas. Beliau berkata Negeri Sembilan berkongsi tempat kedua terbaik dengan Melaka selepas Putrajaya yang menduduki tempat pertama terbaik peringkat kebangsaan. Menurutnya sebanyak 2,058 calon atau 11.7 peratus daripada 17,555 mencapai keputusan penuh 5A atau 7A, berbanding 2,197 orang calon atau 11.4 peratus daripada 19,230 pada tahun 2012, katanya. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Seliau, Rantau diumumkan sekolah terbaik negeri ini diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri, Seremban dan SK Legong Ulu, Rembau.

Di SHAH ALAM, seramai 7,914 daripada 84,296 calon di Selangor mendapat keputusan semua A dalam semua mata pelajaran, kata Pengarah Pendidikan Selangor Mahmud Karim. Katanya pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A menurun sebanyak 0.1 peratus iaitu daripada 9.49 peratus pada 2012 kepada 9.39 peratus tahun ini.

Di KANGAR, Timbalan Pengarah Pendidikan Perlis Nuzrin Nuiman berkata peratus kelulusan UPSR 2013 di Perlis menurun sebanyak 3.42 peratus kepada 62.29 peratus berbanding 65.71 peratus pada tahun lalu.Beliau berkata sekolah yang mencapai peratus kecemerlangan dengan sekurang-kurangnya 20 peratus calon memperolehi semua A ialah SK Seri Indera (43 calon), SK Paya (16), SK Jejawi (18) dan SK Kayang (25).

Di KOTA KINABALU, bilangan murid yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran bertambah daripada 1,035 orang calon tahun lalu kepada 1,197 orang calon tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 0.35 peratus. Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata SK Pasir Putih di Tawau mencatatkan bilangan murid paling ramai memperoleh A dalam semua mata pelajaran iaitu 33 calon, diikuti SK Sri Gaya, Kota Kinabalu (31) dan SK St Monica, Sandakan (29). Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan pula, SJKC Shan Tao di Kota Kinabalu mencatat 35 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran diambil diikuti SJKC Chung Hwa Kg Air, Kota Kinabalu (23) manakala SJKC Chung Hwa Likas, Kota Kinabalu dan SJKC Yuk Chin, Tawau, masing-masing merekodkan 11 calon.

Di KOTA BHARU, seramai 4,703 daripada 32,632 calon di negeri ini mendapat semua A dalam UPSR sekali gus mencatatkan peningkatan dengan jumlah calon yang mendapat semua A meningkat kepada 14.41 peratus berbanding 14.11 peratus pada tahun lepas. Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan Zahari Daud berkata peratusan pencapaian calon-calon yang dikategorikan sebagai di bawah tahap penguasaan minimum iaitu semua D atau E atau kombinasi kedua-dua telah menurun sebanyak 0.10 peratus iaitu 2.89 peratus pada tahun ini berbanding 2.99 peratus pada 2012.

Di ALOR SETAR, seramai 3,282 daripada 35,630 calon di Kedah mencapai tahap cemerlang dengan memperoleh 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran. Pengarah Pendidikan Negeri Mansor Lat berkata pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A meningkat sebanyak 0.73 peratus kepada 9.21 peratus tahun ini, berbanding 8.48 peratus tahun lepas. Pencapaian keseluruhan UPSR 2013 Kedah tahun ini adalah 65.94 peratus (lulus) berbanding 66.41 peratus pada tahun lalu, katanya. – Bernama

Wallahu alam.

Sinar Harian
15 November 2013

No comments:

Post a Comment