Thursday, November 28, 2013

Lidah lebih tajam dari pedang

Hikmat 94

Lebih ramai yang terbunuh kerana kata-kata dan tulisan berbanding terbunuh oleh pedang. Itulah sebahagian maksud lidah lebih tajam dari mata pedang. Ketajaman lidah boleh membunuh berkali-kali berbanding pedang yang boleh menyebabkan kematian sekali saja. Sekali cantas mati serta merta. Sekali menggunakan lidah untuk membunuh yang kena bunuh akan mati berkali-kali, bukan hanya sekali.

Bukan itu saja. Bahkan yang membunuh menggunakan lidah dan tulisan akan turut mati berkali-kali seiring dengan kena bunuh. Jadi, setiap kali hendak menggunakan lidah untuk membunuh – ingatlah bukan seorang sahaja yang akan terbunuh bahkan ramai yang akan turut mati termasuklah diri yang mengeluarkan kata-kata tersebut. Pelik? Tidak pelik jika anda tahu sebabnya. Bila mengeluarkan kata-kata yang membunuh, ia ibarat membunuh diri sendiri, sama ada lambat atau cepat.

Selalunya begitulah, yang difitnah, dihina (menggunakan kata-kata yang membunuh) makin makmur tetapi yang memfitnah akan mati terlebih dahulu. Mati kerana sentiasa resah gelisah memikirkan kesan dari tindakannya; mati kerana dikejar rasa bersalah. Lidah lebih tajam dari mata pedang, sebab itu jika tidak berhati-hari, ia boleh menikam diri sendiri. Terlalu banyak bukti bagaimana senjata milik sendiri akhirnya menikam diri sendiri. Mahukah anda membunuh diri dengan menggunakan senjata milik sendiri? Tentu tidak mahu. Kalau tidak mahu, jangan sekali-kali mengeluarkan kata-kata dan tulisan berbentuk fitnah.

Kesannya bukan saja dirasai di muka bumi ini semasa masih hidup. Bahkan sesudah mayat diusung ke kubur, fitnah akan terus subur berjalan dari mulut ke mulut. Ia tak ubah seperti benih kecil yang dicampak secara tak sengaja bertahun-tahun dulu, akhirnya tanpa disedari akhirnya ia menjadi pokok besar yang berbuah keji. Alangkah beruntungnya jika buah itu adalah buah kebaikan, masih kekal dinikmati walau telah berada di dalam kubur.

Fitnah lebih berbahaya dari membunuh. Bahayanya bukan yang difitnah tetapi pada yang menfitnah. Saksikan sendiri di sekeliling anda.

Wallahu alam

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat, 2006 

1 comment:

  1. Saya setuju. Kena fikir beberapa kali sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyingung hati dan perasaan orang lain.

    ReplyDelete