Monday, February 13, 2017

Syair nasihat marhum Telok Ketapang

Ayuhai segala anak cucunya
hendaklah ingat datuk nendanya
serta fikirkan fiil lakunya
hendaklah diikuti sembarang dapatnya.

Janganlah malas ziarah kuburnya
tiap-tiap jumaat atau bulannya
jika jauh akan tempatnya
setahun sekali jika mudahnya.

Jika sungguh opu nenek moyangnya’
fatihahkan dia janganlah jemu
serta dengan kenduri dan jamu
barang yang dapat atas usahamu.

Sebagai lagi nasihat nenda
kepada segala sanak saudara
serta kepada anak cucunda
salasilah ini hendaklah ada.

Tiap seorang menaruh sendiri
tidaklah hilang bangsanya sendiri
supaya tidak susah hendak mencari
asal usul kita demikian peri.

Wallahu a’alam.

Raja Ali Haji Ibnu Raja Hj Ahmad 
Ibnu Raja Haji Fisabilillah

No comments:

Post a Comment