Saturday, February 11, 2017

Selendang Perpaduan


Ingin kuhadiahkan
selendang perpaduan itu
untukmu, si gadis pertiwi
biar tampak anggun pesona
mencuit hati tergoda
sesiapa sahaja
jejaka-jejaka di luar sana
membuak cinta inderaloka
warisan ibunda nusa tercinta.

Ingin kupakaikan
selendang perpaduan itu
ditubuhmu
siputeri baiduri
biar cantik menawan
corak bangsa berbatik cantik
warna harmoni perhiasan diri
teratak kehidupan hakiki
haruman jati diri.

Ingin kuselempangkan
selendang perpaduan itu
selamanya tersarung kemas
di pundak jiwa menggalas bahagia
tak ingin kutinggalkan
selendang sakti ini
pusaka moyang
yang kita miliki
pertiwi kersani.

Pauzi Mohd Isa
Bidor
Mingguan Malaysia

29 Jan 2017

No comments:

Post a Comment