Asma ul-Husna ke-79
Al-Barr ertinya Allah Maha Bagus, Sumber Segala Kelebihan dan yang Maha
Berbuat Baik sebagaimana firmanNya bermaksud:
Sesungguhnya Dia Maha Baik
dan Maha Penyayang
(At-Thur:28)
Maha Bagus dan
Maha Berbuat Baik
Al-Birr juga mengandungi erti ikatan, jalinan atau hubungan. Seorang yang al-barr berkaitan kerabatannya bererti
ia memelihara hubungan-hubungan baik dengan mereka.
Seorang haji yang diberkati dan bebas dari perbuatan-perbuatan haram
disebut haji mabrur yang ganjarannya tidak kurang dari syurga itu sendiri
menurut hadis.Al-Birr juga bermakna kesolehan, yang pada akhirnya perbuatan apa
sahaja yang lebih mendekatkan seseorang kepada Allah, suatu kata yang memadupadankan
sifat-sifat yang terpuji dan mulia.
Al-Birr adalah apa yang terbaik pada kehidupan dunia sekarang dan di
akhirat kelak. Yang terbaik dalam kehidupan ini adalah apa sahaja yang Allah
sediakan kepada hamba-hambaNya seperti petunjuk, kurnia dan benda-benda yang
dinikmati. Yang terbaik dalam kehidupan
akhirat adalah rahmat abadi yakni kediaman di syurga, semoga Allah memudahkan
kita untuk menikmati kedua rahmat tersebut dengan keagungan dan kemuliaanNya.
Mencintai
perbuatan baik dan benar
Merujuk kepada perkara ini maka sifat manusia yang ketujuhpuluh sembilan
dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah mencintai kebaikan dan kebenaran,
menjadikannya sebagai teras kehidupan. Rasulullah saw bersabda: Tetaplah mengatakan kebenaran, kerana ia
akan menghantarkanmu kepada al-birr.
Al-Birr ertinya kebaikan, suatu kata yang menyatukan semua sifat baik. Ia
membawa kesan pada segala perbuatan baik yang lebih mendekatkan seseorang
kepada Allah, yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi. Perigi Zamzam disebut barra lantaran manfaatnya yang melimpah.
Al-Birr tidak berbuat sesuatupun secara buruk atau tercela. Dia mulia
kepada mereka yang mencari redhaNya. Al-Barr berbuat baik kepada orang-orang
yang mencari kasih sayang dan pemberianNya, kepada para penyembah dengan
mengganjar mereka dengan indah. Tak pernah Allah swt menghentikan pemberian
kerana kederhakaan manusia kepadaNya.
Salah satu cara agar seseorang dicintai Allah ialah dengan mengamalkan
sikap benar sama ada dalam ucapan mahupun perbuatan. Ianya akan menerbitkan
kasih sayang sesama insan. Siapa pun yang patuh kepada kebaikan, maka Allah
dengan sifat al-BarrNya akan menjaga hamba tersebut sampai ke gerbang syurga
yang penuh kenikmatan.
Syurga dikatakan juga sebagai pintu kebaikan kerana di dalamnya adalah
kebaikan-kebaikan yang banyak, tempat ahli kebaikan dan kebenaran tinggal selama-lamanya.
Wallahu ’alam
Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan
Asma ul-Husna
Pustaka Azhar, 2010
No comments:
Post a Comment