Friday, February 10, 2017

Hakikat surat (rupa batin) (rupa zahir) (1)

Tiap-tiap satu kejadian itu mempunyai hakikat dan juga suratnya. Antara kedua-duanya itu meskipun ada persamaan yang nyata tetapi pada dasarnya didapati perbezaan yang amat jauh.

Kita  tentu pernah melihat buah-buah yang diperbuat daripada plastik. Pada zahirnya buah-buah itu nampaknya seperti buah-buah asli tetapi amatlah jauh bezanya antara yang palsu dengan asli itu. Kita  kata tidak boleh disamakan kerana buah-buahan palsu itu tidak mempunyai keharuman, kemanisan dan kelazatan sedikitpun. Yang dipunyainya hanyalah rupa dan warna.

Tentu ramai di antara kita yang pernah melawat ke rumah gambar atau muzium. Di sana tentulah kita dapat melihat  berbagai binatang seperti singa, harimau, gajah dan lain-lain. Sayangnya binatang-binatang itu tidak bernyawa dan tidak pula boleh bergerak. Ya! Ada rupa harimau tetapi tidak ada suara, tidak ada kekuatan, keberanian, kegagahan serta kehebatan padanya. Yang ternyata hanya suratnya sahaja, hakikatnya sama sekali tidak ada.

Surat tidak boleh mengambil tempat hakikat. Tidak pula boleh melawan hakikat dan tidak boleh memikul beban hakikat. Hakikat mempunyai satu kekuatan yang paling agung yang tidak dapat dinafikan. Hakikat itu adalah satu kewujudan yang kukuh, malahan surat itu cumabayangan semata-mata. Sebagai misalan, cubalah lihat seorang budak kecil bahawa ia boleh menjatuhkan sebuah patung singa ketanah, sebabnya ialah meskipun budak itu kecil dan lemah tetapi berhakikat; dan patung singa itu sungguhpun dianggap gagah tetapi hanyalah bersurat sahaja. Hakikat yang ada pada budak itu dengan mudah sahaja boleh menewaskan surat yang ada pada singa yang dianggap gagah itu.

Wallahu ’alam

Sentuhan rohani
Yusof Haji WanJor
Thinker’s libarary Sdn.Bhd.

2001

No comments:

Post a Comment