Friday, February 17, 2017

Penubuhan sekolah menengah persendirian Cina baharu

Latar belakang

Penubuhan, pembukaan, penutupan dan penyenggaraan mana-mana sekolah di setiap peringkat persekolahan berdasarkan peruntukan yang disediakan oleh Akta Pendidikan 1996(Akta 550). Penubuhan dan penyenggaraan sekolah menengah misalnya diperuntukkan oleh seksyen 31 Akta 550 yang menyatakan:

31. Penubuhan dan penyenggaraan sekolah menengah
Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, Menteri boleh menubuhkan dan menyenggarakan mana-mana sekolah yang diperihalkan dalam seksyen 30.

Sehubungan dengan itu, seksyen 30 pula memperuntukkan:

30. Menteri hendaklah mengadakan pendidikan menengah
(1) Hendaklah menjadi kewajipan Menteri untuk mengadakan pendidikan menengah di sekolah menengah kebangsaan yang berikut:
a) sekolah menengah akademik
b) sekolah mengah teknik dan
c) sekolah menengah daripada apa-apa perihal lain yang ditentukan oleh Menteri dari semasa ke semasa

(2) Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, Menteri boleh mengadakan pendidikan menengah atas di mana-mana sekolah menengah kebangsaan.

Berdasarkan peruntukan yang dinyatakan di atas, kewajipan Menteri dalam penubuhan dan penyenggaraan sekolah menengah adalah untuk menyediakan pendidikan menengah di sekolah menengah kebangsaan sahaja.

Pada masa yang sama Kementerian Pendidikan tidak menghalang penubuhan sekolah swasta berdasarkan peruntukan seksyen 73 Akta 550. Berdasarkan  subseksyen 73(1), jelas menyatakan bahawa tiada apa-apa peruntukkan dalam Akta yang boleh ditaksirkan sebagai melarang penubuhan dan penyenggaraan institusi pendidikan swasta.

Rujukan kepada seksyen 2 Akta 550, telah mentafsirkan sekolah swasta atau institusi pendidikan swasta ialah sekolah atau institusi pendidikan yang bukan merupakan sekolah atau institusi pendidikan Kerajaan atau bantuan Kerajaan.

Seterusnya, dalam hal sekolah swasta juga, subseksyen 73(2) Akta 550 memperuntukkan bahawa walau apa pun peruntukkan subseksyen  73(1), tiap-tiap institusi pendidikan swasta hendaklah mematuhi peruntukkan dan semua peraturan yang dibuat di bawah Akta ini yang terpakai bagi institusi pendidikan swasta.

Antara perkara utama yang perlu dipatuhi oleh sesebuah institusi pendidikan swasta adalah tentang penggunaan Kurikulum Kebangsaan dan menyediakan murid bagi menduduki peperiksan yang ditetapkan oleh Akta 550.

Dalam hal ini, suseksyen 18(1) Akta 550 telah memperuntukkan bahawa Menteri hendaklah menetapkan suatu kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Kebangsaan
digunakan oleh semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Namun bagi sekolah swasta subseksyen 18(3) Akta 550 memperuntukkan bahawa subseksyen 1891) disifatkan telah dipatuhi jika mata pelajaran teras Kurikulum Kebangsaan yang dinyatakan dalam Jadual kepada Akta 550 diajarkan di sekolah tersebut.

Seksyen 19 Akta 550 pula dengan jelas telah menetapkan setiap sekolah wajib menyediakan murid-muridnya bagi peperiksaan yang ditetapkan oleh atau di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini melainkan jika dikecualikan. Pada masa masa ini peperiksaan yang ditetapkan berdasarkan Akta 550 ialah Penilaian Menengah Rendah (PMR) di peringkat Tingkatan 3, Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) di peringkat Tingkatan 5.

Kedudukan 60 buah sekolah menengah persendirian Cina (SMPC)

Kedudukan 60 buah sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) sedia ada tersebut merujuk ucapan Menteri Pendidikan Malaysia dalam pembentangan Rang Undang-undang Pendidikan 1996 di Dewan Rakyat pada18 Disember 1995 yang menjelaskan fasal 151 seperti berikut:

........fasal 151 jugamengekalkan status quo 60 buah sekolah menengah Cina swasta  sama seperti yang terdapat dalam Akta Pendidikan 1961.......

Perkara tersebut dinyatakan dalam seksyen 151 Akta  550 yang membenarkan kesemua 60 buah sekolah sedia ada untuk terus beroperasi dengan menggunakan sistem SMPC. Pengecualian yang diberikan oleh seksyen 151 Akta 550 terpakai hanya kepada 60 buah SMPC tersebut sahaja.

Kesimpulan

Berdasarkan perundangan pendidikan yang sedang berkuat kuasa, penubuhan sekolah menengah yang diperuntukkan ialah sekolah menengah kebangsaan atau sekolah menengah swasta yang mematuhi Akta 550.

Dalam hal ini, Akta 550 menetapkan semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsan hendaklah menggunakan Kurikulum Kebangsan. Namun bagi sekolah swasta, keperluan tersebut disifatkan telah dipatuhi jika mata pelajaran teras Kurikulum Kebangsaan yang dinyatakan dalam Jadual kepada Akta 550 diajarkan di sekolah tersebut.

Akta 550 juga dengan jelas telah menetapkan setiap sekolah wajib menyediakan murid-muridnya bagi peperiksaan yang ditetapkan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya melainkan jika dikecualikan.

Sehubungan dengan itu penubuhan SMPC baharu hendaklah dalam bentuk swasta seperti yang diperuntukkan oleh Akta 550 yang mengajarkan mata pelajaran teras seperti yang ditetapkan dalam Kurikulum Kebangsaan, menyediakan murid untuk menduduki peperiksaan awam, dan mematuhi apa-apa peruntukan lain Akta 550 yang berkaitan.

Wallahu ’alam

Koleksi Brif Isu Dasar Pendidikan 2012-2015
Sektor Dasar, BPPDP, KPM
ms 14-15

No comments:

Post a Comment