Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada ketaqwaan
Sudilah kiranya ayahanda membenarkan saya membisikkan kesedihan dan kedukaan yang terpendam selama ini. Biarkan ia menjadi bicara berterus terang pada hari ini.
Bicara ruh kepada ruh-ruh sering berjalan
Hati-hati dapat mengetahuinya tanpa bersusah payah.
( Ahmad Syauqi )
Wahai ayahandaku yang tercinta….kerana keadilanlah langit dan bumi berseimbangan. Allah menyuruh berlaku saksama. Atas kesaksamaan itulah nantinya akan ditimbang kebenaran dengan kebatilan. FirmanNya :
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan (mematuhiNya).
(al-Nahl : 90)

Orang lain yang bersalah tapi aku yang dihukum
Aku ini bagaikan sasaran telunjuk melepaskan kekesalan
( Ibn Syaraf al-Qairawani )
Tidakkah ayahanda pernah mendengar bahawa rasulullah saw bersabda :
Takutlah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anakmu.
( Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir )
Begitu juga sabda baginda saw :
Berlaku adillah sesama anak-anakmu dalam soal pemberian sebagaimana kamu suka mereka berlaku adil sesama kamu dalam menumpahkan kebaikan dan kelembutan.
(Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir dengan sanad yang sahih)
Diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir ra bahawa bapanya datang bertemu rasulullah saw dan berkata : Sesungguhnya saya menghadiahkan seorang budak suruhan untuk anakku ini. Lalu baginda saw bertanya : Apakah semua anakmu engkau berikan hadiah yang serupa? Beliau menjawab : Tidak. Rasulullah saw bersabda : Ambil semula pemberianmu itu.
Kezaliman terhadap sanak saudara lebih memedihkan daripada tusukan pedang tajam besi India .
( Tarfah bin al-‘Abd )

Junjungan kita, rasulullah saw bersabda :
Mana-mana orang yang mengendalikan urusan sepuluh orang atau lebih, maka Allah akan datangkannya dalam keadaan tangannya terbelenggu di lehernya, lalu setelah itu kebaikannya akan melepaskannya atau dosanya akan membinasanya.
( Riwayat daripada Abu Umamah dengan sanad yang baik )
Wallahu a’alam.
(Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)
No comments:
Post a Comment