Wednesday, August 8, 2012

Bingkisan Ramadan 10

Berpuasa sepenuhnya
 
Sebahagian kita maklum asas ibadat puasa ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga. Namun begitu, kehendak sebenar berpuasa ialah semua pancaindera turut berpuasa. Ulamak Arab ada berkata: Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan anggota badan seperti mata, telinga, hati dan fikiran turut berpuasa bersama-sama perut. Dengan itu, ia akan mengelakkannya daripada melakukan perkara yang sia-sia.

Bagi mendapat kesempurnaan ibadat puasa, kita perlu menjaga semua pancaindera kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan ibadat puasa. Jabir bin Abadullah ra pernah berkata: Jika kamu berpuasa, hendaklah berpuasa juga pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu daripada dusta dan dosa.

Oleh itu untuk mencapai kesempurnaan ibadat puasa kita perlulah menjaga kesemua pancaindera kita, iaitu:

1. Kita hendaklah menjaga mata dan menahannya daripada melihat segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama. Contohnya melihat aurat seseorang yang bukan mahram kita.

2. Hendaklah kita memelihara lidah daripada bercakap perkara yang tidak berfaedah dan tercela seperti menuturkan kata-kata yang kasar dan biadab. Dalam hal ini, Rasulullah saw penah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud: Jika ada orang yang berkata-kata kotor kepadanya maka katakana kepada orang itu bahawasannya aku sedang berpuasa.

3. Kita juga perlu memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci agama seperti mendengar muzik yang mengkhyalkan sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengari sebagaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 42:

Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.

4. Selain daripada itu, kita hendaklah juga memelihara kaki dari melakukan perbuatan-perbuatan dosa seperti bergaduh dan berbalah. Jangan membalas kejahatan dengan kejahatan demi menjaga kesucian bulan Ramadan. Jauhkanlah diri daripada berkunjung ke tempat-tempat maksiat dan pusat-pusat membeli belah untuk tujuan melepak.

5. Seterusnya kita juga mestilah memelihara tangan kita dari melakukan perbuatan yang tidak baik seperti mencuri, menyentuh seseorang yang bukan mahram, memukul, bergaduh dan mengambil barang-barang yang bukan milik kita.

6. Akhirnya kita juga perlu menegah dan menahan perut kita daripada memakan yang syubhah (diragui) ketika berbuka puasa seperti memakan makanan ringan yang diragui status halalnya. Sebaliknya berbukalah dengan makanan yang dianjurkan oleh Rasulullah saw seperti makanan yang dianjurkan oleh Rasulullah saw seperti kurma, kismi dan buah-buahan segar.

Oleh itu, berpuasalah sepenuhnya seperti puasa orang-orang yang soleh. Mereka telah berpuasa seluruh jasad mereka, luar dan juga dalam jasad dan roh. Semuanya turut berpuasa.

Wallahu a’alam.

 ( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment