Friday, August 10, 2012

Bingkisan Ramadan 13

Pintu syurga dibuka

Bila sahaja masuk bulan Ramadan, semua pintu syurga dibuka dan tiada satu pun pintu yang ditutup. Malaikat menyeru : Wahai orang yang gemar kepada kebaikan terimalah kehadiran Ramadan.

Syurga tersangatlah indah sehingga mata manusia tidak pernah melihat keindahan seindah itu, telinga pula tidak pernah mendengar bunyi-bunyian yang semerdu itu dan tidak terlintas di fikiran manusia kehebatan yang ada dalam syurga. Namun apabila masuk bulan Ramadan, syurga yang sudah tersedia indah itu dihiaskan lagi. Keindahan yang tidak mungkin dapat digambarkan di dunia ini.

Rasulullah saw menjelaskan kepada kita kejadian yang berlaku apabila masuknya bulan Ramadan:

Bila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu (dirantai) semua syaitan.

                                                (HR: Muslim)

Kehadiran Ramadan merupakan satu rahmat yang ditunggu oleh penghuni di dunia dan di langit. Allah membuka seluas-luasnya pintu-pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat perintah Allah. Bahkan Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hambaNya. Di samping itu pintu-pintu rahmat dibuka seluas-luasnya bagi seluruh hambaNya yang tekun beribadah.

Terbukanya pintu-pintu syurga sepanjang Ramadan kerana menghormati bulan yang mulia ini. Oleh itu, jika ada nama lain yang boleh diberikan kepada Ramadan, amat sesuai Ramadan dinamakan sebagai bulan syurga lantaran terbukanya semua pintu syurga.

Allah SWT sentiasa menyeru manusia untuk mendapat keampunan daripadaNya dan memasuki syurgaNya. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 133:

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.

Hasan al-Basri berkata : Allah telah menjadikan Ramadan sebagai arena pertandingan makhluk-makhlukNya. Mereka berlumba dengan ketaatan demi meraih redaNya. Sebahagian berjaya dan keluar sebagai pemenang. Namun sebahagian lagi meninggalkan ketaatan dan mereka termasuk orang-orang yang rugi.

Tidak ada lagi bulan yang dibuka pintu syurga seluas bulan Ramadan Ramadan. Tidak ada lagi peluang yang lebih baik untuk mendapatkan kunci syurga selain daripada bulan Ramadan. Tiada tawaran yang lebih hebat daripada Ramadan. Tiada kerugian yang lebih besar kecuali kepada orang yang tidak mengendahkan tawaran Ramadan. Inilah masa untuk mendekatkan diri dengan syurga Allah yang terbentang luas merentasi langit dan bumi.

Marilah kita merebut tawaran Allah ini, satu tawaran yang tidak pernah ditawar oleh mana-mana makhluk. Tawaran itu adalah syurga!.

Wallahu a’alam.

 ( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment