Friday, August 10, 2012

Bingkisan Ramadan 11

Sucikan jiwa

Bulan Ramadan adalah masa terbaik untuk kita menyucikan jiwa. Inilah masa untuk melentur jiwa supaya patuh dan taat pada perintah Allah. Jiwa yang selama ini melakukan maksiat kepada Allah, perlu disucikan. Tidak ada peluang yang lebih baik untuk mensucikan diri selain Ramadan kerana di bulan yang penuh dengan limpahan keberkatan ini, syaitan dibelenggu sebagai tanda kemuliaan Ramadan. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawasanya Rasulullah saw bersabda:

Apabila datang Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai / dibelenggu para syaitan.

                                                (HR : al-Bukhari dan Muslim)

Jiwa kita diumpamakan sebagai sebuah mentol yang terang. Namun setiap kali kita melakukan dosa dan maksiat, satu titik hitam akan melekat ke dalam hati dan jiwa kita. Lama kelamaan mentol yang bersinar terang itu akan dilitupi oleh titik hitam sehingga mentol yang terang itu tidak dapat lagi menembuskan cahayanya.

Begitulah jiwa kita, yang perlu dibersihkan supaya cahayanya dapat memancar untuk menunjuk jalan. Oleh itu sucikanlah jiwa dengan banyak beristighfar mohon keampunan daripada Allah. Bertaubat di atas keterlanjuran sama ada terhadap Allah atau sesame makhluk. Bertaubatlah dengan taubat nasuha iaitu :

1. Segera meninggalkan maksiat yang dilakukan.
2. Menyesal di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan
3 Berazam untuk tidak akan mengulangi lagi maksiat.

Itulah syarat taubat nasuha yang dapat menyucikan jiwa. Apabila jiwa telah suci akan terpancarlah hidayah Allah. Apabila jiwa telah suci akan terpancarlah hidayah Allah. Apabila jiwa telah dipenuhi dengan hidayah Allah dan syaitan pula telah dibelenggu dengan kemuliaan Ramadan, maka inilah masanya, Subuh tidak lagi terlewat malah saat menunggunya diisi dengan bacaan ayat suci al-Quran.

Inilah masanya :
  • tangan berjabat mengeratkan silaturahim,
  • hati diisi dengan kasih sayang melalui zakat,
  • membuang dendam dan dengki yang selama ini terpatri di hati.
  • tiada lagi kata nista, umpat dan keji melata di bibir.
  • alunan zikir bertali arus menunjukkan rindu kasih seorang hamba kepada Tuhannya.
  • tangan kanan menghulur sumbangan kepada yang memerlukan sebagai tanda persaudaraan sesama Islam.
  • jiran tetangga bertukar juadah
  • mengeratkan hubungan ‘saudara terdeka’
  • ibubapa diziarahi
  • hubungan silaturrahim diperbaiki
  • pusara dikunjungi
  • pakaian yang labuh dan menutupi aurat menjadi pilihan
  • tiada lagi yang jarang atau kurang bahan
  • masjid dan surau dipenuhi dengan umat Islam yang ingin mendekatkan diri kepada Allah melalui solat berjemaah termasuklah solat tarawih
  • doa dipanjatkan: semoga kehidupan di dunia diberkati, kehidupan di akhirat bahagia menanti
  • sucikan jiwa dan ikhlaskan hati bagi kita memulakan hidup baru,
  • sebagai garis permulaan ke arah kejayaan abadi di dunia dan di akhirat.
 Mudah-mudahan, Ramadan kali dapat menyucikan jiwa kita daripada segala dosa yang sekian lama menutup jiwa kita. Mohonlah keampunan dan pertolongan daripada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Wallahu a’alam.

 ( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment