Sunday, August 12, 2012

Bingkisan Ramadan 27

Berdoalah agar dapat bertemu lagi Ramadan

Bulan Ramadan yang mulia ini akan  sampai ke penghujungnya. Ramadan yang penuh dengan seribu rahmat dan barakah ini akan meninggalkan kita. Tiada siapa pun yang boleh memberi jaminan bahawa dia dapat bertemu lagi denga Ramadan pada tahun hadapan.

Hari-hari terakhir Ramadan adalah sat-saat kesedihan yang dirasai oleh ahli ibadat di kalangan Salaf al-Saleh, lantaran teramat berat untuk berpisah dengan Ramadan. Berakhirnya Ramadan bererti telah tamat tawaran intimewa yang ditawarkan sepanjang Ramadan. Tawaran itu hanya akan datang dalam tempoh setahun lagi. Tetapi kita tidak tahu nasib kita pada ketika itu sama ada kita masih hidup ataupun telah kembali ke rahmatullah.

Oleh itu, golongan Salaf al-Saleh selalu mendoakan agar mereka dapat bertemu lagi dengan Ramadan agar mereka dapat merebut sekali lagi peluang yang ditawarkan oleh Allah. Malah mereka akan berdoa sehingga berbulan-bulan lamanya selepas berakhir Ramadan agar diterima semua amalan yang telah mereka kerjakan sepanjang Ramadan.

Berdoalah pada hari-hari akhir ini agar Allah terus memberikan hidayah kepada kita untuk terus berbakti kepada Allah dan menjadikan segala amal kebaikan dan ibadah kita sepanjang Ramadan sebagai amalan yang diterima. Demikian juga, mohonlah agar Allah memberikan kekuatan supaya dapat pula diamalkan secara berterusan walaupun setelah berakhirnya Ramadan.

Kalau dalam bulan Ramadan kerap solat berjamaah di masjid atau di surau maka dalam bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya, dapat terus istiqamah melakukan solat berjamaah. Berdoalah agar kekuatan dan semangat beribadat akan berterusan sampai bila-bila, sehingga bertemu dengan Allah nanti.

Selepas tamat Ramadan, teruskan pula dengan puasa-puasa sunat khususnya berpuasa 6 hari pada bulan Syawal. Puasa ini seolah-olah mengiringi pemergian Ramadan. Puasa ini juga sebagai penampal kecacatan puasa Ramadan. Ganjaran pahalanya pula besar. Sabda Rasulullah :

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diiringi pula dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah ia telah berpuasa sepanjang tahun.

Sesungguhnya untuk bertemu bulan Ramadan pada tahun hadapan adalah semata-mata anugerah daripada Allah. Oleh itu, berazamlah jika Allah masih memberikan peluang kepada kita sekali lagi pada tahun hadapan, ia akan menjadi Ramadan yang lebih baik daripada Ramadan tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya.

Jika Ramadan ini ditakdirkan sebagai Ramadan terakhir buat kita, mohonlah moga Allah menerima segala amal kita sepanjang Ramadan walaupun kita tahu betapa kurang dan cacatnya amalan kita. Mohon Allah ampunkan segala salah dan silap serta dosa-dosa yang dilakukan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja, lalai ataupun lupa.

Hanya Allah sahaja yang mengetahui tentang ajal dan umur kita. Namun begitu, kita berharap agar diberi peluang lagi bertemu dengan Ramadan. Hanya kepada Allah kita berserah dan berharap.

Wallahu a’alam.

 ( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment