Sunday, August 12, 2012

Bingkisan Ramadan 30

Mudah-mudahan Allah menerima semua amalan kita

Sudah sepatutnya seorang hamba yang telah melakukan suruhan tuannya sentiasa mengharapkan ihsan dan rahmat daripada tuannya. Demikianlah juga kita sebagai hamba Allah. Selepas kita melakukan ibadat puasa dan juga ibadat-ibadat yang lain sepanjang bulan Ramadan, berserahlah sepenuhnya dengan hati yang penuh dengan pengharapan ataupun raja’ dan rasa takut atau khauf, kalau-kalau Allah tidak menerima amalan kita.

Ya Allah, Ya Tuhanku, Engkau jadikanlah Ramadan ini Ramadan yang terbaik buatku, Engkau terimalah segala amalanku, meskipun aku tahu terlalu banyak kekurangannya, meskipun aku malu untuk mempersembahkannya kepadaMu, namun Engkau terimalah ya Allah dengan segala kekurangannya……

Sebelum Ramadan meninggalkan kita ataupun kita yang meninggalkan Ramadan, apakah kita sudah menghitung amalan yang telah kita lakukan sepanjang bulan yang mulia ini? Agaknya ujian Ramadan yang kita lalui itu, luluskah atau gagal? Atau cukup-cukup makan sahaja?

Kita menyedari betapa buruknya amal ibadat yang hendak kita persembahkan kepada Allah. Namun begitu, kita amat mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah supaya menerima ibadat kita seadanya. Letakkanlah harapan yang tinggi terhadap Allah. Dalam keadaan takut kalau-kalau Allah menolak ibadat puasa kita tetapi dalam masa yang sama kita amat mengharapkan rahmat dan keredhaanNya. Oleh itu, sebagai insan biasa kita akur atas segala kekurangan, namun kita diajar supaya bersikap takut dan harap hanyalah kepada Allah. Oleh itu, berdoalah dengan hati yang penuh pengharapan, agar Allah menerima ibadat puasa kita.

Sifat takut dan harap selepas melakukan sesuatu amal ibadat adalah amalan golongan salaf al-saleh yang terdahulu. Mereka dikatakan orang yang menunggu-nunggu kehadiran Ramadan dengan penuh harapan sejak enam bulan sebelum datangnya Ramadan. Kemudian mereka berdoa pula selama enam bulan selepas berlalunya Ramadan supaya Allah menerima segala amal ibadat yang mereka lakukan sepanjang Ramadan. Begitulah kuatnya pergantungan mereka kepada Allah. Begitulah juga kuatnya kerinduan mereka kepada Ramadan sehingga sepanjang tahun dalam kehidupan mereka sentiasa merindui dan menanti Ramadan.

Berdoalah mudah-mudahan Allah terima dan memberi ganjaran yang besar kepada kita.

Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami rahmat daripada sisiMu. Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha Memberi, Tuhan kami kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada azab api neraka.

Ramadan akan mengundurkan dirinya buat kesekian kalinya. Entah sempat entah tidak kita dapat bertemu lagi dengan Ramadan pada tahun yang akan datang. Jika ini adalah Ramadan yang terakhir buat kita…moga Allah menempatkan kita di dalam surgaNya. Selamat tinggal Ramadan, mudah-mudahan bertemu lagi.

Hanya kepada Allah kita berserah. Hanya kepada Allah kita berharap.

Wallahu a’alam.

 ( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment