Wednesday, August 8, 2012

Bingkisan Ramadan 8

Jangan tinggal puasa

Sesetengah orang memandang ringan tentang kewajipan berpuasa sedangkan di sisi Allah perbuatan meninggalkan puasa sedangkan di sisi Allah perbuatan meninggalkan puasa tanpa keuzuran adalah satu dosa. Nabi Muhammad saw menegaskan :

Sesiapa yang berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa apa-apa (rukhsah (pengecualian daripada syarak), tidak sakit, dia tidak akan dapat menebusnya walaupun dia berpuasa sepanjang tahun sepenuhnya.

                                                (HR: Bukhari & Muslim)

Demikianlah dahsyatnya kerugian yang dialami oleh orang yang sengaja berbuka puasa tanpa alasan yang dibenarkan. Islam hanya memberi rukhsah (kelonggaran) untuk berbuka puasa kepada golongan berikut:

1. Perempuan yang didatangi haid dan nifas
2. Pesakit yang membahayakan diri jika berpuasa
3. Orang yang tersangat lapar dan dahaga
4. Musafir sejauh dua marhalah (kira-kira 90 km) atau lebih
5. Orang tua yang tiada berdaya lagi untuk berpuasa
6. Perempuan yang sedang mengandung
7. Ibu yang menyusukan anak kecil

Sungguhpun Islam mengharuskan mereka untuk berbuka, namun mereka wajib mengqadanya apabila keadaan mengizinkan. Bagi yang tidak mampu, dibolehkan membayar fidyah iaitu memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar nilai secupak beras bagi sehari puasa yang ditinggalkan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 184:

…Maka barang siapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa/qadha) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan bagi mereka yang keberatan (uzur) untuk menjalankan ibadat puasa (jika mereka tidak berpuasa) wajib membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin…

Ibadat puasa adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Meninggalkan puasa dengan sengaja seolah-olah meruntuhkan salah satu daripada rukun tersebut. Orang yang tidak berpuasa dan tanpa segan silu makan di khalayak ramai adalah orang yang tidak mempunyai maruah agama. Ini menggambarkan betapa tipis imannya. Jika ada yang masih ingkar untuk berpuasa, itu adalah kedegilan dirinya. Janganlah bersubahat dengan orang sebegini dengan melindungi keaibannya atau membantu membelikan makanan untuknya.

Cubalah elakkan diri daripada melakukan kerja-kerja yang berat sehingga menyebabkan terbuka puasa. Jika kerja-kerja itu dapat ditangguhkan di luar Ramadan, maka tangguhkanlah. Ingatlah orang yang berjaya menjaga puasanya di bulan Ramada, sesungguhnya ia telah berjaya menjaga sebahagian agamanya.

Wallahu a’alam.

( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment