Saturday, August 11, 2012

Bingkisan Ramadan 26

Baca Al-Quran dan khatamlah

Bulan Ramadan adalah bulan al-Quran. Bulan diturunkan al-Quran. Bulan untuk umat Islam tekun membaca al-Quran berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Bulan untuk bertadarus bagi memperbaiki bacaan atau tilawah. Ibnu Abbas berkata : Jibril as menemui Rasulullah pada setiap malam bulan Ramadan sehingga akhir bulan Ramadan dan Rasulullah membacakan al-Quran kepada Jibril as.

Ketekunan Rasulullah saw membaca al-Quran telah digambarkan oleh Aisyah rhn, katanya: Saya tidak pernah mengetahui Rasulullah membaca al-Quran semuanya pada satu malam, dan sembahyang sepanjang malam hingga waktu subuh dan berpuasa sebulan penuh, melainkan di bulan Ramadan (HR: Ahmad)

Amalan yang ditunjuk oleh Rasulullah diikuti oleh para sahabat. Ada  di kalangan mereka khatam al-Quran seminggu sekali, ada pula khatam tiga hari sekali, bahkan ada yang khatam pada setiap malam. Mereka telah mengkhatamkan al-Quran beberapa kali sepanjang bulan Ramadan.

Golongan salaf al-saleh juga turut menjejaki amalan para sahabat. Imam Syafie umpamanya dilaporkan dua kali khatam al-Quran dalam sehari di bulan Ramadan. Sementara Qatadah pula menamatkannya setiap tiga malam sebelum sepuluh terakhir Ramadan. Manakala dalam tempoh sepuluh terakhir beliau mengkhatam setiap malam.

Para ulama terdahulu amat memberikan tumpuan kepada membaca al-Quran di bulan Ramadan sehingga ada di kalangan mereka yang menangguhkan majlis-majlis ilmu mereka di bulan ini bagi memberi lebih tumpuan terhadap Al-Quran. Imam Malik ra sendiri telah menangguhkan buat sementara waktu kuliah pengajian hadis dan fekah pada bulan Ramadan. Beliau memberikan sepenuh masanya untuk mengamati makna dan mentadabburkan Al-Quran.

Membaca Al-Quran mendapat ganjaran pahala yang besar, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan. Membaca satu hurufnya sahaja dalam bulan biasa mendapat sepuluh kebajikan. Membaca dalam keadaan berwuduk pahalanya mencecah lima puluh kebajikan. Apabila membacanya dalam solat akan mendapat seratus kebajikan.

Selain itu puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada orang yang berpuasa dan membaca al-Quran. Abdullah bin Amar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:

Puasa dan al-Quran akan memberikan syafaat kepada manusia di Hari Kiamat nanti. Puasa berkata : Ya Rabb, aku cegah dia daripada makan dan segala yang dia suka pada siang hari, izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: Aku cegah dia daripada tidur di malam hari, izinkanlah aku untuk memberikan syafaat kepadanya. Kemudian kedua-duanya memberikan syafaat. (HR: Ahmad)

Rebutlah peluang yang ada di bulan Ramadan ini untuk mendekati al-Quran dengan sedekat-dekatnya. Dampingilah al-Quran dengan membacanya, meneliti makna-maknanya, memperbaiki mutu bacaannya. Mudah-mudahan al-Quran akan memberi syafaat kepada kita di Padang Mahsyar kelak.Insya Allah.

Wallahu a’alam.

( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment