Ramadan bulan hidayah Al-Quran

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk kepada sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
Alangkah bertuahnya kerana kita masih diberi kesempatan bertemu dengan bulan yang diturunkan al-Quran yang mulia ini. Kita telah dibekalkan dengan kitab petunjuk sebagai panduan hidup di dunia ini. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 1-2 :
Alif,Laam,Miin. Kitab (al-Quran) ini tidak ada sebarang syak padanya. Menjadi petunjuk kepada orang yang (hendak) bertaqwa.
Alangkah baiknya, jika setiap waktu yang terluang di bulan Ramadan yang mulia ini diisi dengan tilawah al-Quran, bertadarus, menghayati isi kandungan al-Quran, menghafaz al-Quran, mempertingkatkan mutu bacaan dengan mendalami ilmu-ilmu tajwid, bertarannum, mempelajari ilmu-ilmu qiraat dan sebagainya.
Membaca al-Quran bererti membaca kalam Allah. Tidak ada kalam semulia kalam Allah. Membacanya mendapat pahala. Bahkan setiap huruf mendapat 10 pahala. Sabda Rasulullah saw : Sesiapa membaca satu huruf daripada kitab Allah Taala maka ia memperolehi kebaikan, setiap kebaikan diberi sepuluh kali ganda. Aku tidak berkata ‘alif lam mim’ sebagai satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.
(HR: Tarmizi)

Marilah kita muhasabah diri. Adakah selama ini kita benar-benar membaca al-Quran dengan penuh penghayatan? Betulkah tajwid dan sebutannya? Fahamkah maksud ayat yang kita baca? Puaskah kita dengan pencapaian mutu bacaan a-Quran kita selama ini? Berapa banyakkah surah yang telah kita hafal dan lain-lain yang seumpamanya.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment