Pintu neraka ditutup
Kemuliaan Ramadan bukan sahaja kerana pintu syurga dibuka bahkan pintu neraka turut ditutup sempena kedatangan Ramadan. Apa lagi yang lebih baik untuk kita harapkan daripada rahmat Allah SWT apabila pintu syurga dibuka manakala pintu neraka ditutup. Inilah kemuliaan Ramadan. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullah saw bersabda:
Apabila Ramadan telah datang, maka dibuka pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan.
(HR: Muslim)

Namun begitu, nikmat ini hanya datang pada Ramadan al-Mubarak. Oleh itu, hargailah kehadiran Ramadan bukan hanya kerana nikmat yang diturunkan, tetapi juga kerana azab neraka yang ditarik. Biarpun seketika, namun keberkatan Ramadan mampu memupuk rasa insaf yang mendalam dalam setiap jiwa yang menghayatinya.
Sungguhpun kita tidak pernah melihat neraka, namun cerita mengenai kedahsyatan seksaan dan keperitan yang ada di dalam neraka amat mengerikan. Betapa ganasnya neraka digambarkan oleh Allah SWT melalui surah al-Mulk ayat 7 & 8 :
Apabila mereka (orang kafir) dilemparkan ke dalamnya, mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelagak, hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir), penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka, apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?
Pada bulan Ramadan syaitan telah dirantaikan. Sepatutnya ketika ini kita lebih senang untuk beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah tanpa gangguan. Namun begitu, manusia masih perlu berjuang untuk melepasi rintangan nafsu demi mentaati Allah.

Mudah-mudahan dengan rahmat Ramadan, pintu neraka akan tertutup selama-lamanya buat kita. Hanya kepada Allah kita mohon pertolongan.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment