Tuesday, August 21, 2012

Suara hati anak 2

Keperluan ruhani ini

Ayahandaku yang tercinta…

Anakanda mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala penat lelah dan jerih payah yang ayahanda lakukan demi untuk melihat anakanda bahagia dan tenteram.

Ayahanda telah bertungkus lumus memberikan kepadaku sebaik-baik makanan, minuman dan kenderaan.

Ayahanda telah berikan kepada anakanda kediaman yang paling indah.

Demi untuk melihat kebahagianku ayahanda rela mengorbankan penat lelah dan tenagamu.

Sayangnya ayahandaku…Ayahanda leka tentang aspek paling penting dan tuntutan paling besar, iaitu keperluan ruh, perasaan dan keimanan.

Semua ini makanannya ialah ketaatan dan bekalannya ialah ketaqwaan, dapurnya ialah ibadat, rawatannya ialah amalan soleh.

Apakah ayahanda telah menunaikan tanggungjawab ruh ini sebagaimana yang ayahanda tunaikan untuk keperluan jasad?

Wahai yang berkhidmat kepada badan dan berusaha merehatkannya.

Anda meletihkan dirimu melakukan kerja yang merugikan.

Tampillah kepada ruh dan sempurnakan kemuliaannya kerana dengan ruh anda menjadi manusia, bukannya badan.

                                                                        (Abu al-Fath al-Basti)

Ayahandaku! Pernahkah ayahanda memimpin tanganku membawaku untuk mendengar syarahan-syarahan berguna yang dapat menambahkan ilmu dan amalku?

Pernahkah ayahanda memberikan daku pita kaset ajaran Islam yang bermanfaat? Agar dengannya dapatlah anakandamu memenuhkan masa lapang dengan kebaikan yang banyak.

Pernahkah ayahanda menghadiahkan buku agama? Yang dengannya aku dapat  mempedomani dan menyinari laluan hidupku pada zaman yang penuh dengan lembah lurah yang gelap gelita, di kelilingi oleh syubhah dan nafsu serakah.

Pernahkah ayahanda bersentuhan kaki dan bahu denganku untuk sama-sama menunaikan solat demi menjunjung perintah Allah swt :

Dan perintahkanlah keluargamu mendirikan sebahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa.

                                                                        (Taha:132)

Juga demi menjunjung perintah rasulullah saw yang bersabda:

Suruhlah anak-anak mendirikan solat apabila mencapai usia tujuh tahunj dan apabila sampai usia sepuluh tahun rotanlah mereka jika tidak mendirikan solat.

                                    (Diriwayatkan daripada Ibn Umar dengan sanad hasan)

Pernahkah ayahanda mengingatkan saya ayat-ayat al-Quran?

Pernahkah ayahanda mengajarkan saya akan sunnah nabi saw?
Pernahkah ayahanda menjadikan saya seorang yang mendalam pengetahuan agamanya?

Bukankah rasulullah saw pernah bersabda:

Sesungguhnya Allah akan menyoal setiap pemimpin tentang apa yang dipimpinnya, apakah ia benar-benar menjaganya atau menghilangkannya, hinggakan seorang lelaki nanti akan ditanya tentang apa yang terjadi kepada ahli keluarganya.

                        (Hadis sohih diriwayatkan daripada Anas)

Wallahu a’alam.

 (Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment