Friday, August 24, 2012

Suara hati anak 5

Berlebih-lebihan mengikut kemahuan anak

Ayahandaku yang tercinta…

Anakandamu ingin meluahkan rasa hati ini tentang diriku yang tidak berupaya mendengar nasihat dan menghadapi pancaroba dunia. Jiwaku adalah teman rapatku semasa senang tetapi menjadi seteru kuatku ketika susah.

Setelah ketiadaanmu, duhai ayahandaki, maka aku dapati diriku mengharungi liku-liku hidup ini bagaikan seorang pejuang yang bertempur di medan perang tanpa senjata. Atau bagaikan dedaunan kering yang ditiup angin. Atau juga bagaikan sebuah sampan kecil yang bergelut menghadapi ombak yang menggulung.

Lantas fikiranku melayang sejenak mengimbau sejarah masa silam.Lalu aku menyelak lembaran-lembaran sejarah. Ternyata aku dapati punca kelemahan diri ini dalam menghadapi suasana kehidupan sekarang ialah ayahanda terlalu berlebih-lebihan memanjakan daku.

Seringkali ayahanda tidak akan membiarkan kehendakku tidak tertunai. Permintaanku sering mendapat sahutan. Kata-kataku indah belaka. Perbuatanku semuanya baik. Kenakalan dan keburukanku pada matamu adalah satu kebaikan. Kesalahan yang aku lakukan, pada pandanganmu adalah betul.

Ayahanda melatihku supaya menjadi seorang tuan, bukannya khadam, seorang penerima, bukannya pemberi, seorang yang berkuasa menyuruh dan melarang itu dan ini. Lantaran itu, apabila aku kehilanganmu, maka hilanglah segala-galanya untukku. Tiada apa lagi yangku miliki setelah ketiadaanmu……

Selama ini hidupku dibuai dengan kata-kata pujian dan sanjungan. Siapalah diriku ini, untuk menanggung kata-kata yang memedihkan? Aku telah biasa mendapat apa sahaja kehendak atau keinginanku,. Justeru, bagaimana aku dapat menerima, apabila kehendakku dihalang?

Aku dibesarkan dalam dunia kemewahan. Justeru, bagaimana aku dapat bersabar dengan kesusahan? Ayahanda sering melontarkan kepadaku kata-kata yang penuh kasih dan pujukan. Justeru, bagaimana aku dapat menahan apabila mendengar kata-kata yang tidak disenangi dan menyakitkan?

Kamu biasakan aku mengenderai dunia penuh kebahagian. Justeru, bagaimana aku dapat mengenderai suasana penuh keperitan? Aku dididik mengecap kemewahan dan kesenangan. Maka apalah dayaku untuk menganggung kesukaran? Engkau selalu sahaja memperdengarkan ke telingaku kata-kata setuju. Justeru, bagaimana dapatku tahan apabila telinga ini mendengar suara yang membantahnya?

Sungguh baik perkataan ‘ya’ selepas ‘tidak’
Sungguh buruk perkataan ‘tidak’ selepas ‘ya’
Mengatakan ‘tidak’ setelah mengucapkan ‘ya’
Adalah satu kekejian
Kerana itu,
Mulakan dengan ‘tidak’
Jika kamu takut penyesalan.

                        (A’idz bin Mahdz bin Tha’labah)

Alangkah baiknya kalau dahulu kamu seringkan antara memenuhi permintaanku dengan menolak keinginanku dan kamu gembirakan aku di samping menakutkan aku. Kerana jika begitu, tentulah anakanda dapat hidup dalam keadaan yang seimbang, membesar dengan sempurna. Hidup dalam suasana kekerasan yang dibaluti dengan kasih sayang dan ketegasan yang bercampur dengan kemesraan.

Maka berkeraslah supaya mereka patuh.
Sesiapa yang mengasihi,
adakalanya hendaklah bersikap keras
ke atas yang dikasihi.

                                    (A’idz bin Mahdz bin Tha’labah)

Wallahu a’alam.

 (Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment