Monday, August 6, 2012

Bingkisan Ramadan 3

Ramadan kali ini lebih baik daripada dahulu

Setiap tahun kita bertemu dengan bulan Ramadan. Selama mana Allah memanjangkan umur kita di dunia ini, selama itulah kita akan bertemu dengan Ramadan.

Marilah kita renungkan kembali Ramadan yang lalu, yang telah jauh meninggalkan kita. Apakah Ramadan pada tahun ini akan menjadi Ramadan yang lebih baik daripada tahun lalu? Apakah amal ibadat kita pada Ramadan tersebut diterima Allah SWT sebagai amalan yang sempurna? Marilah kita muhasabah diri dan juga amal agar Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan yang lalu.

Menghadapi Ramadan dalam erti kata merebut peluang dan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah perlu kepada persiapan dari segi spiritual dan fizikal. Antara persiapan yang perlu kita lakukan ialah :

1. Persiapan Iman : Iman adalah tenaga dan kekuatan dalaman yang menjadi motovasi untuk menggerakkan ibadah di bulan Ramadan. Oleh itu, sebelum masuk bulan Ramadan usaha untuk meningkatkan iman perlu dilakukan seperti banyak membaca al-Quran, beristighfar, berzikir mengingati Allah, Qiamullail dan berpuasa sunat pada bulan-bulan sebelum Ramadan. Persiapan awal dapat membantu kita menghadapi Ramadan dengan jaya.

2. Persiapan Ilmu : Kita Perlu mengulangkaji dan mendalami ilmu-ilmu berkaitan dengan ibadah puasa dan amalan-amalan sunat di bulan Ramadan. Melalui persiapan ilmu ini, akan menambahkan lagi kekuatan kita untuk melakukan ibadah kepada Allah. Di samping itu, ibadah yang kita lakukan akan lebih sempurna.

3. Persiapan Fizikal : Jagalah kesihatan diri supaya kita dapat menunaikan ibadah puasa dengan jayanya. Kawal nafsu makan kerana makan yang terlalu banyak akan melemahkan kita untuk beribadat.

4. Persiapan Rohani : Berusahalah untuk memelihara anggota badan daripada melakukan kemungkaran. Peliharalah lidah daripada mengumpat, mencela, mengeji, mencaci dan menghina orang lain. Jagalah mata dari melihat perkara-perkara maksiat. Begitu juga dengan anggota-anggota yang lain. Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja. Sabda Rasulullah saw :

Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan yang keji, maka Allah tiada ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya.

                                    (HR: al-Bukhari)

5. Persiapan kewangan : Peruntukkan sebahagian harta untuk bersedekah pada bulan ini kerana ganjaran kepada orang yang bersedekah amat besar.
Mudah-mudahan dengan persiapan yang baik, kita dapat melalui Ramadan pada kali ini lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu.

Wallahu a’alam.

( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment