Saturday, August 11, 2012

Bingkisan Ramadan 21

Ku rasa apa yang kau rasa

Ramadan adalah bulan rahmat. Allah melimpahkan rahmatnya yang banyak pada bulan Ramadan. Bagaimana pula orang yang berpuasa dapat merasa rahmah dan kasih sayang kepada orang yang kurang bernasib baik, yang hidup merana disebabkan kemiskinan hidup, menghadapi penyakit kronik, kecacatan yang dialami ataupun kesusahan dan penderitaan.

Berpuasa pada bulan Ramadan sepatutnya menimbulkan rasa keinsafan dalam diri terhadap penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh saudara seagama dengan kita. Janganlah sampai puasa kita itu tidak memberikan kesedaran langsung tentang penderitaan orang lain.

Atas alasan itulah, sesetengah ahli zuhud berkata : Bersahur itu  bertentangan dengan hikmah puasa. Tetapi Ibnu Hajar kemudiannya menjelaskan maksud tersebut dengan katanya: Makan sahur secara berlebihan sampai menghilangkan hikmat puasa bukanlah termasuk sahur yang disunatkan…mereka bermewah-mewahan dalam makanan dan mempersiapkannya secara berlebihan. Demikanlah juga dengan berbuka. Jika berlebih-lebihan sampai menghilangkan hikmah puasa, bukanlah berbuka yang disunatkan. Renungkanlah keadaan orang miskin ketika mereka berbuka dan bersahur.

  Bulan Ramadan sepatutnya mencetuskan perasaan simpati dan kasih sayang kepada golongan yang kurang berkemampuan. Inilah masa yang terbaik untuk mendekati dan membantu mereka. Bukan berpuasa sekadar menanggung kelaparan dan keletihan diri sendiri tetapi merasai juga keletihan dan kelaparan orang lain. Janganlah Ramadan menjadi pesta makanan yang beraneka juadahnya sehingga terlupa pada nasib orang yang miskin.

Alangkah baiknya, jika pada bulan Ramadan ini kita menjadi orang yang lebih pemurah daripada bulan-bulan yang lain. Jadilah orang yang lebih prihatin terhadap penderitaan orang lain. Ziarahilah fakir miskin dan janda yang menanggung anak yatim kerana mereka adalah golongan yang dikasihi oleh Rasulullah, sehingga baginda selalu menghiburkan mereka dan beramah mesra dengan mereka.

Hulurkanlah bantuan kepada mereka atau sekurang-kurangnya memberikan zakat fitrah kepada mereka.Walaupun zakat fitrah itu kecil nilainya bagi sesetengah orang tetapi dapat memberi harapan kepada fakir miskin untuk menampung kehidupan mereka dan menyambut hari raya. Perkongsian rasa susah senang sesama Islam dapat menimbulkan keinsafan dalam kehidupan yang dilalui oleh insane yang bertakwa kepada Allah SWT.

Jika seorang itu tidak pernah mengalami kesusahan dalam hidup mungkin kerana dia dilahirkan dalam keluarga yang kaya dan senang maka jadikanlah Ramadan ini untuk memahami penderitaan dan perasaan mereka. Carilah mereka di kampong atau di Bandar untuk menghulurkan bantuan kepada mereka, agar mereka juga dapat bersama-sama menikmati rahmat Ramadan.

Jadikanlah Ramadan pada tahun ini untuk merasai apa yang mereka rasai. Dekatlah diri dengan mereka kerana ibadat puasa yang kita lakui ini bukan hanya mendekatkan diri kita dengan Allah tetapi mendekatkan diri kita dengan golongan fakir miskin yang amat memerlukan. Oleh itu, dengan kehadiran Ramadan ini, carilah ruang untuk memahami penderitaan mereka dan seterusnya berusaha membantu golongan yang amat memerlukan.

Mudah-mudahan Ramadan kali ini memberi keinsafan kepada kita untuk lebih memahami perasaan dan penderitaan fakir miskin.

Wallahu a’alam.

 ( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment