Sunday, August 26, 2012

Kewajipan membayar hutang

Dari Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda: Orang yang berada melambat-lambatkan membayar hutang adalah suatu kezaliman dan apabila seseorang kamu mencari orang yang lambat membayar hutang maka hendaklah ia membayarnya.

                                    (Sepakat dalam riwayat)

Keterangan :

Hadis di atas mengandungi ajaran penting untuk keharmonian masyarakat. Dalam kehidupan seharian ada masa susah dan senang yang silih berganti. Kita perlu saling bertolong-tolongan. Dengan itu, kita mungkin akan berhutang atau orang berhutang dengan kita bagi menampung keperluan hidup.

Di waktu berlaku hutang piutang inilah timbul berbagai kedudukan. Ada yang setia kepada perasaan tidak ingin menyusahkan orang lain. Tidak kurang yang cuba mengambil kesempatan dengan tidak ingin membayar hutang.

Hadis di atas menyatakan orang yang melambat-lambat membayar hutang dengan sengaja adalah perbuatan yang zalim. Apa tah lagi jika tidak mahu membayarnya. Mereka itu orang yang tidak bertanggungjawab.

Disebutkan melambat-lambatkan itu sebagai tidak menyegerakan pembayaran hutang, meskipun wang sudah ada. Orang berhutang biasanya meminta tangguh hingga ke suatu masa. Bila ada wang ia wajib dibayar. Tidak harus baginya melambat-lambatkan pembayaran. Inilah yang dikatakan berada atau kaya dalam hadis. Tidaklah menunggu ia menjadi kaya atau merasa ada lebih wang baru hendak membayar, kerana menurut nafsu manusia, ia tidak akan merasa puas dengan wang dan harta atau tidak akan merasa berlebihan wang.

Orang yang melambat-lambatkan membayar hutang, apabila datang orang menuntut hutangnya, hendaklah ia membayarnya. Tidak harus lagi ia melambat-lambatkan membayar hutang itu. Perkara ini penting, ia akan menimbulkan hubungan tidak baik. Masyarakat tidak seimbang. Persahabatan boleh renggang kerana tidak setia ketika berhutang.

Kita mesti menjaga agar kekeruhan tidak berlaku sesama sahabat. Itulah yang diajarkan rasulullah saw, iaitu menjadi peminjam yang baik.

Kesimpulan :

1. Kita tidak harus melambat-lambatkan membayar hutang kerana perbuatan itu boleh menyebabkan kesusahan kepada sahabat kita.
2. Melambat-lambatkan membayar hutang bagi orang yang mampu membayarnya adalah suatu kezaliman.
3. Orang yang tidak membayar hutangnya jika ia mampu adalah orang yang tidak bertanggungjawab.

Wallahu a’alam.

 ( Mengenal Islam)

No comments:

Post a Comment