Tuesday, August 7, 2012

Bingkisan Ramadan 6

Berbukalah dengan makanan yang halal

Ada dua kegembiraan yang disediakan oleh Allah kepada orang yang berpuasa. Pertama kegembiraan ketika berbuka dan kedua kegembiraan ketika bertemu dengan Allah (HR: Muslim). Kegembiraan berbuka dapat dirasai sebaik sahaja menjamah makanan ketika berbuka. Betapa nikmatnya dapat meneguk segelas air setelah seharian tidak menjamah sebarang makanan ataupun minuman.

Ketika berbuka, jagalah adab-adabnya. Perhatikan makanan atau juadah untuk berbuka. Pastikan makanan itu benar-benar halal. Jauhi daripada makanan yang diragui halal haramnya. Jika sepanjang hari dapat taat kepada Allah dengan menahan lapar dan dahaga, maka ketika berbuka juga hendaklah mengikut ketaatan kepada Allah.

Janganlah hilang kawalan diri sehingga nafsu menjadi raja. Ketika tekak telah kering dan perut berkeroncong apa sahaja yang terbayang dan terhidang di hadapan mata dirasakan enak belaka. Ada kalanya jam baru menunjukkan pukul lapan pagi kita sudah berkira-kira dan berangan-angan apakah juadah untuk berbuka hari ini. Hakikatnya setelah tiba waktu berbuka, segelas air dan sedikit kurma sudah cukup sebagai penghilang dahaga.

Rata-rata masyarakat hari ini tiada banyak masa untuk menyediakan sendiri juadah berbuka. Bazar-bazar Ramadan pula tumbuh bagai cendawan selepas hujan pada bulan Ramadan.Ratusan juadah telah tersedia. Cuma sediakan sahaja duit dan tunjuk sahaja mana satu pilihan hati. Sungguh mudah bukan? Tetapi perlu diingat, pastikan makanan yang dibeli untuk berbuka diyakini tentang halalnya. Lihatlah pada orang yang menjual, lihatlah makanan yang hendak dibeli.

Mohonlah kepada Allah agar makanan yang dibeli adalah halal. Allah menegaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 168 :

Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata.

Ingatlah bahawa makanan yang kita ambil semasa berbuka boleh memberi kesan kepada ibadat kita nanti. Antaranya rasa berat dan sukar untuk beribadat pada malam hari, lemah untuk solat Terawih, solat Tahajjud atau membaca al-Quran. Kesan seterusnya sehingga tidak dapat merasai kemanisan dalam beribadat.

Rasulullah saw menunjukkan kepada kita satu contoh ketika berbuka. Menurut Anas bin Malik, Rasulullah saw berbuka terlebih dahulu sebelum beliau solat. Beliau berbuka dengan rutob (kurma yang masak ranum). Sekiranya tidak ada rutob, baginda berbuka dengan tamar (kurma kering). Sekiranya tiada juga tamar, baginda akan berbuka dengan beberapa teguk air.

Oleh itu, berhati-hatilah memilih makanan. Pilihlah makanan yang benar-benar halal. Kawallah nafsu. Janganlah mencemar puasa sepanjang hari hanya disebabkan juadah ketika berbuka yang tidak benar-benar halal. Selamat berpuasa dan berbukalah dengan makanan yang halal. Jauhi makanan syubhah, pasti kesihatan terjaga dan amalan sempurna.

Wallahu a’alam.

( BPI KPM; 2008 )

No comments:

Post a Comment