Friday, August 24, 2012

Perkara yang meragukan mesti dijauhi

Dari Nu’man bin Basyir ra katanya: Saya dengar Rasullah saw bersabda: Bahawasanya perkara yang halal itu terang, dan perkara yang haram itu terang dan terdapat di antara keduanya perkara-perkara yang diragukan tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia. Barangsiapa yang menjauhi perkara-perkara yang diragukan itu bererti ia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang jatuh ke dalam perkara yang diragukan bererti ia jatuh ke dalam perkara yang haram seperti pengembala yang mengembala di tepi sempadan, disyaki bahawa binatang pengembalaannya memakan tanaman di dalamnya.

Ingatlah, bahawasanya bagi tiap-tiap seorang raja itu ada sempadannya. Ingatlah bahawasanya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkannya. Ingatlah bahawasannya di dalam jasad manusia itu ada seketul daging, apabila baik ia baiklah seluruh jasadnya dan apabila rusak ia rusaklah seluruh jasadnya. Ingatlah dia ialah hati.

(Sepakat dalam riwayat, dan diriwayatkan hadis ini dari beberapa riwayat dengan lafaz yang hampir sama)

Keterangan :

Dalam hadis ini Rasulullah saw menerangkan bahawa ada perkara yang mesti kita perhatikan di dalam kehidupan sehari-hari.Perkara itu ialah sama ada halal, haram atau syubahat iaitu diragui halal atau haramnya.

Perkara-perkara yang halal itu jelas dan terang. Kita dapat mengetahuinya melalui keterangan al-Quran dan Sunnah yang menyebutkan perkara-perkara tersebut sebagai halal. Begitu bagi yang haram, ia jelas dan diketahui haramnya. Tetapi perkara ketiga, tidak jelas sama ada halal atau haram. Ini dinamakan syubahat. Orang kebanyakan selalunya tidak mengetahui perkara tersebut. Ia hanya diketahui oleh orang-orang yang faham sebenarnya tentang ajaran Allah swt. Dengan itu mereka tidak dapat menentukannya.

Oleh yang demikian, rasulullah saw memberikan keterangan iaitu, perkara-perkara yang diragukan itu hendaklah dijauhi. Ini adalah lebih selamat. Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata baginda saw : Barangsiapa yang menjauhi perkara syubahat bererti ia telah membersihkan agama dan kehormatannya.

Kemudian ditegaskan lagi bahawa barangsiapa yang mengambil atau melakukan perkara-perkara syubahat bererti ia telah jatuh ke dalam perkara haram. Dengan itu jelaslah bahawa sebenarnya perkara yang menimbulkan keraguan di dalam hati kita sama ada halal atau haram itu adalah haram.

Contoh syubahat yang dikemukakan ialah seperti seorang pengembala binatang ternakan yang membawa binatangnya ke tepi tanaman yang sedang menghijau. Walaupun  ia menjaganya, tentulah ada waktunya ia tidak terkawal yang binatang itu memakan tanaman tersebut.

Biasanya perkara halal diketahui dan perkara haram juga demikian. Misalnya, ikan adalah halal dimakan dan arak haram untuk diminum. Namun masih banyak perkara yang meragukan dalam makanan dan minuman apabila berkunjung ke kedai makanan meskipun ada tanda ‘halal’.Inilah yang perlu dijauhi.

Rasulullah saw memberikan contoh sebagai ingatan iaitu sedangkan seorang raja ada menentukan batas-batas sesuatu perbuatan dan sempadan negerinya. Inikan pula Allah swt, Raja Bagi Segala Raja di dunia dan akhirat. Maka batas-batas dan ketentuan-ketentuan Allah swt itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya.Sebagai seorang Islam dan mengakui kekuasaan Allah swt , hendaklah dijauhi perkara-perkara haram dan syubahat.

Dalam soal kepatuhan dan ketaatan kepada perintah Allah dan rasulNya, terpulang pada hati kita sendiri. Rasulullah saw mengingatkan hati perlu dijaga supaya sihat iaitu baik dengan menerima ajaran-ajaran dan hukum-hukum Allah agar seluruh badan menjadi baik. Apabila baik hati, tangan akan melakukan kerja-kerja yang baik, mulut akan bercakap yang baik-baik, telinga akan mendengar yang baik dan seterusnya. Begitulah sebaliknya. Bila hati buruk, kelakuan seseorang juga buruk.

Ini menunjukkan bahawa hati itu besar pengaruhnya pada kehidupan dan menentukan segala tindakan dan kelakuan kita.Orang yang rosak hatinya tidak akan mengambil hirau sama ada sesuatu itu halal, haram atau syubahat. Semuanya sama sahaja baginya. Jadi sebagai seorang Islam dan pengikut rasulullah saw mestilah menjadikan peringatan dari baginda saw itu sebagai amalan kita.

Kesimpulan :

1. Terdapat perkara-perkara yang halal dan haram dengan jelas, dan terdapat pula perkara-perkara yang syubahat di dalam kehidupan kita sehari-harian.
2. Perkara-perkara syubahat tidak diketahui kedudukannya oleh kebanyakkan orang, maka kita hendaklah menjauhinya, supaya bersihlah agama dan kehormatan kita.
3. Orang yang melakukan perkara syubahat bererti ia melakukan perkara yang haram. Kita mesti menjauhi perkara-perkara itu.
4. Kita mesti memelihara supaya jangan melanggar perintah Allah, iaitu tidak melakukan perkara-perkara yang diharamkanNya di samping menurut apa yang disuruhNya.
5. Hati adalah bahagian yang sangat penting di dalam badan kita. Bukan sahaja hati menentukan kita sihat atau tidak tetapi juga menentukan samada kita baik atau tidak.

Wallahu a’alam.

( Mengenal Islam)

No comments:

Post a Comment