Saturday, August 25, 2012

Suara hati anak 6

Punca kesalahan

Ayahandaku yang tercinta…

Aku pernah mendengar ada seorang anak muda yang dihampiri seorang lelaki tua. Lelaki tua itu mendapati anak muda tersebut sedang menangis. Lalu dia pun bertanya: Mengapa anakku menangis?

Anak muda itu menjawab : Saya melihat ibuku sedang menyalakan api dapur dengan kayu-kayu api yang kecil. Tiba-tiba timbullah ketakutan kepada saya betapa halnya jika Allah menyalakan saya dan anak-anak kecil seperti saya untuk menjadi bahan bakaran neraka pada hari kiamat. Itulah yang membuatkan saya menangis…..

Ayahandaku yang tercinta…! Perasaan apakah itu yang menarik kedamaian dan kelekaan anak muda tadi? Mengapakah aku tidak pernah merasai begitu seperti yang dirasainya? Mengapakah aku tidak hidup seperti hidup yang dilaluinya?

Bukankah itu disebabkan engkau, tidak mendidikku seperti ibu itu yang mendidik anaknya dan tidak mengajarku seperti ibu yang mengajar anaknya….

Izinkan anakandamu ini mengungkap nada yang agak keras supaya dengannya anakanda mempunyai kekuatan untuk menarik perhatianmu kepada apa yang bakal aku katakan…..

Sesungguhnya engkau mendidikku supaya menjadi hamba dunia, maka di atas landasan itulah aku melalui kehidupan ini. Kerana dunia inilah aku berjuang dan bertungkus lumus. Dunia inilah segala-galanya yang menjadi impianku, tujuan dan sasaranku. Dunia inilah kemuncak impian dan harapanku.

Ayahanda tidak mendidikku untuk menjadi hamba Allah seperti yang disukai oleh Allah, agar dengan cara itu aku menjadi orang yang bersedia untuk bertemu Allah dan beriman kepada takdirNya serta berpegang teguh kepada perintahNya. Dengan itu dapatlah aku akur dan patuh kepadaNya. Bukankah dunia ini diciptakan untuk tujuan akhirat?

Apabila iman telah hilang maka tiada lagi keamanan. Tiada dunia untuk orang yang hidupnya tiada ‘din’ ( agama). Sesiapa yang menyenangi kehidupan tanpa agama, maka ia telah menjadikan kebinasaan sebagai temannya.

                                                            ( Ahmad Syauqi )

Anakanda hanya akan menunjukkan satu contoh kepada ayahanda, walaupun terdapat banyak contoh yang boleh anakanda kemukakan.

Tidakkah ayahanda ingat, pada suatu ketika saya terlewat pergi ke sekolah tanpa sebarang keuzuran, lalu saya tidak menunaikan solat walau satu rakaat pun pada hari itu, sedangkan ayahanda menyedari hal tersebut?

Demi kerana Allah saya ingin bertanya kepada ayahanda : Mengapa ayahanda memarahi dan menghukum hari itu? Sesungguhnya ayahanda menghukum saya kerana terlewat ke sekolah, tetapi tidak adapun hukuman kerana saya tidak mengerjakan solat. Tidak ada hukuman kerana keegoan diri saya di hadapan Tuhan pencipta dan pemilik saya.

Kita tampungkan dunia ini dengan mengoyakkan agama. Lalu agama kita pun tidak kekal, apatah lagi yang kita tampung.

                                    ( Ibrahim bin Adham )

Apakah ayahanda mahu supaya saya menumpukan kehidupan kepada dunia melebihi akhirat? Apakah ayahanda mahu supaya ketakutan saya kepadamu melebihi ketakutan saya kepada Allah? Apakah ayahanda mahu saya memakmurkan dunia ini dengan memusnahkan akhirat saya? Lantas nantinya saya akan berpindah daripada tempat yang dipenuhi kemakmuran ke tempat yang punah ranah, iaitu di saat tamatnya masa penangguhan dan tibanya masa perpindahan?

Mengapa ayahanda mengancamku dengan kebencian dan hukumanmu? Tetapi pada masa yang sama mengapa pula ayahanda tidak mengancam serta memberi amaran kepadaku tentang kemurkaan dan siksaan Allah yang amat pedih? Apakah dunia ini yang ayah lebih pentingkan daripada akhirat? Atau adakah dunia yang musnah binasa dan sementara ini lebih baik dan lebih disenangi oleh ayah daripada kenikmatan yang abadi dan berkekalan?

Bukankah rasulullah saw pernah bersabda: 

Sesiapa yang akhirat menjadi perhatiannya, maka Allah jadikan hatinya berasa kaya dan mengumpulkan untuknya kesatuannya dan dunia datang kepadanya secara terpaksa. Sesiapa yang dunia ini menjadi perhatiannya, maka Allah jadikan kefakiran berada antara dua matanya, dan Allah mencerai-beraikan kesatuannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya melainkan sekadar yang ditakdirkan untuknya.

                                    ( Diriwayatkan dari Anas dengan sanad yang sahih )

Jiwa menangis kerana dunia, sedangkan ia mengetahui keselamatan di dunia ialah  meninggalkan apa yang ada padanya. Tiada lagi rumah kediaman untuk seseorang setelah kematian melainkan rumah yang dibinanya sebelum kematiannya. Jika dibinanya rumah itu dengan kebajikan maka baiklah kediamannya. Jika dibinanya dengan kejahatan, maka musnahlah tukang binanya.

                                                ( Ibrahim al-Suli )

Bukankah rasulullah saw bersabda :

Mana-mana hamba yang Allah berikan kuasa kepadanya untuk memerintah orang bawahannya, tetapi pada hari kematiannya ia mati dalam keadaan menipu orang bawahannya, maka Allah haramkan syurga untuknya.

                        (Diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar)

Wallahu a’alam.

(Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment