Saturday, August 4, 2012

Kaedah mengaji agama I

Membelanjakan harta untuk ilmu

Sungguh ramai bilangan alim ulama zaman dahulu yang menuntut ilmu sambil bekerja kerana kemiskinannya tetapi tak kurang juga hartawan Islam yang suka bersedekah jariah demi ketinggian ilmu.

Muhammad bin Al-Hassan, mempunyai tiga ratus orang pegawai yang mengurus harta-hartanya. Kesemua harta-harta itu telah dibelanjakan untuk wakaf dan amal jariah bagi kegiatan menuntut ilmu pengetahuan sehingga tiada yang tinggal suatu apa pun walaupun sehelai pakaian yang elok.

Melihat keadaan yang demikian, sahabatnya Abu Yusuf segera datang membawakan beberapa helai pakaian yang elok akan tetapi jutawan itu menolak pemberian. Sekiranya pemberian itu sunat diterima sekalipun, namun yang demikian adalah menghina dirinya sendiri. Islam tidak membenarkan umatnya menghina diri sendiri sebagaimana sabda Rasulullah saw : Tidak harus bagi orang mukmin itu menghina dirinya sendiri.

Manakala terdapat juga sebuah kisah di zaman permulaan Islam, bahawa Fakhrul Islam Al-Arsabandi pula terpaksa mengumpulkan kulit-kulit timun. Ia melontarkan ke tempat-tempat yang sunyi dari pandangan orang kemudian ia memakannya. Bagaimanapun hal tersebut diketahui oleh seorang hamba perempuan yang melaporkan kepada tuannya. Ia menjemput Fakhrul Islam tetapi beliau tetap menolak jemputan itu.

Dengan itu, contohilah pengorbanan mereka yang berhemat tinggi dan tidak tamakkan harta orang lain.

Rasulullah saw bersabda : Manusia itu sekaliannya dalam kepapaan walaupun mereka takut menghadapi papa.

Sabda baginda lagi : Jauhilah diri daripada bersifat tamak, kerana sesungguhnya ia adalah papa.

Para ulamak berkata : Orang alim yang sangat tamak, nescaya tiada baginya kemuliaan ilmu, selalunya ia tidak bercakap benar.

Rasulullah saw berdoa : Aku berlindung dengan Allah daripada tamak yang membawa kepada kecelakaan.

Wallahu a’alam.

( Kaedah mengaji agama; Penerbit Taha 1986 )

No comments:

Post a Comment