Lailatul qadar : tawaran hebat daripada Allah

Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.
Ini bermakna beribadah pada malam itu dengan penuh ketaatan, solat dengan penuh khusyuk, membaca al-Quran sambil bertadabur merenung kalimah-kalimah dan makna, berzikir dan berdoa, sama seperti beribadah selama seribu bulan pada bulan-bulan yang lain. Seribu bulan adalah ganjaran yang sama dengan 83 tahun 4 bulan.
Kehebatan malam Lailatulqadar juga digambarkan oleh Allah sebagai malam keselamatan dan kebaikan seluruhnya, tiada keburukan sehingga terbit fajar. Malam itu para malaikat mengucapkan salam kepada orang-orang yang beriman. Allah menurunkan segala rahmat dan kesejahteraan pada malam Lailatulqadar. Tawaran Allah SWT terlalu hebat.
Nabi Muhammad saw sendiri menjelaskan bahawa malam itu penuh dengan kebajikan dan kasih sayang Saidatina Aisyah rha meriwayatkan bahawa : Kebiasaannya Rasulullah saw berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadan berbanding dengan malam-malam yang lain: Malam itu diisi dengan amal ibadat sepenuhnya kerana tiada lagi malam yang lebih baik untuk beribadat kecuali malam Lailatulqadar.
Hidupkanlah malam Lailatulqadar dengan amal ibadat, berdoa, berzikir dan bersungguh-sungguh untuk mencari keampunan dan keredhaanNya. Bertaubatlah sebanyak-banyaknya dengan taubat nasuha pada malam itu terhadap dosa-dosa yang dilakukan pada masa lampau. Ini bertepatan dengan sabda Nabi saw yang bermaksud : Sesiapa yang beribadah pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
Bangunlah mengisi 10 malam terakhir ini walau bertongkat sekalipun. Bangunlah untuk menebus kembali dosa silam yang dilakukan tanpa sedar sama ada kepada Allah SWT, ibu bapa dan orang sekeliling kita. Kalaupun tidak ada dosa yang kita lakukan, bangunlah untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Mohonlah kekuatan daripada Allah, agar dapat beribadah pada malam itu, dapat bermunajat dan menangis kerana takut dan harap kepada Allah. Mudah-mudahan Allah mendengar rayuan dan bisikan kita.
Wallahu a’alam.
( BPI KPM; 2008 )
No comments:
Post a Comment