Saturday, January 26, 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 4 )


Sambungan petikan teks ucapan...........

Bersempena tema Maulidur Rasul pada tahun ini, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, marilah kita mengukuhkan lagi pendekatan sederhana yang sekian lama diajar oleh baginda rasul saw. Malaysia sememangnya sebuah negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip wasatiyyah. Prinsip-prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Al-Sunnah Wal-Jamaah yang mula-mula sampai dan disebarkan ke negara kita.

Justru kita dapati tiada dalam sejarah negara, Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, peperangan, pergaduhan dan kaedah yang menyusahkan. Nabi saw sendiri memberi peringatan keras tentang lawan kepada sifat sifat wasatiyyah ia itulah alwulu, melampau dan ekstrem.

Jauhilah melampau ( wulu )  dalam agama kerana telah binasa mereka yang sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama.


      ( HR : Ibnu Majah dan Al-Nasai dalam sanad yang sahid )                   

Kita semua sedia maklum semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama manusia. Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan atau agama keamanan sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia meskipun anutan agama mereka berbeza dari Islam. Kalaupun menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya. Memilih jalan konfrantasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan  harus dielak bagi menjamin keutuhan sesebuah masyarakat dan negara.

Hakikatnya kestabilan dan keharmonian yang sedia terjalin akan musnah, kalau kita gagal memelihara keharmonian dan nilai yang dibawa oleh agama. Dalam konteks negara Malaysia, agama Islam sebagai anutan majoriti oleh itu sudah tentu nilai Islam menjadi asas kepada pembinaan keharmonian masyarakat dan seharusnya mendapat sokongan semua pihak. Ini bermakna sifat wasatiyyah yang perlu diyakini adalah kesepaduan yang positif dalam segenap aspek lapangan kehidupan samaada dari sudut akidah, syariah dan akhlak secara individu atau berkumpulan.

Di samping itu, kita perlu menyakini bahawa  wulu atau ekstrem di dalam agama bakal merosakkan akidah, syariah dan akhlak samaada secara individu atau berkumpulan kerana itu hasrat kerajaan untuk menunjangi gagasan wasatiyyah yang dibawa oleh  rasulullah saw amat serius. Ia makin terserlah apabila di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia telah berjaya menjadi model kepada gagasan wasatiyyah antarabangsa. Ini terbukti dengan penubuhan Institut Wasatiyyah di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya dan Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global.

Semoga tema Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah sempena Maulidur Rasul pada tahun 1434 ini akan membawa satu dimensi baru kepada kita untuk menyedari bahawa nilai-nilai kesederhanaan perlu dijadikan asas kepada perpaduan kita.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013

No comments:

Post a Comment