Thursday, January 31, 2013

Makruh dalam solat ( 1 )


1. Memalingkan muka ketika solat, melainkan kerana keperluan

a) Diriwayatkan daripada Abu Zarr ra bahawa rasulullah saw bersabda : Allah Azzawajalla sentiasa menghadap hambaNya ketika dia bersolat dan tidak akan berpaling.Jika dia berpaling, Allah juga akan berpaling daripadanya.
(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud)

b) Aisyah ra meriwayatkan bahawa dia pernah bertanya rasulullah saw tentang hakikat berpaling. Jawab Rasulullah : Ia adalah satu bentuk kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seorang hamba.
( Riwayat al-Bukhari dalam shahih al-Bukhari)

2. Memandang ke langit

Riwayat al-Bukhari daripada Anas b Malik ra bahawa rasulullah saw  bersabda : Mengapakah kaum-kaum ini mengangkat pandangan mereka ke langit ketika solat? Baginda mengeraskan suaranya sehingga baginda bersabda : Sama ada mereka  berhenti berbuat demikian atau pandangan mereka akan disambar.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

3. Meletakkan kedua-dua lengan di atas lantai ketika sujud

Anas ra menyatakan rasulullah saw bersabda : Betulkanlah (kedudukan) kamu semua ketika sujud dan jangan seseorang daripada kamu meletakan kedua-dua lengannya (di atas tanah) seperti anjing (meletakkan kakinya di atas tanah ketika duduk).
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Memandang ke arah sesuatu yang melalaikannya daripada solat

Aisyah rha menceritakan bahawa rasulullah saw pernah mengerjakan solat di atas sehelai kain hitam bersegi empat yang bergambar. Selesai solat, baginda bersabda : Bawalah kainku ini kepada Abu Jahm dan datangkanlah kepada ku kain tebal kepunyaan Abu Jahm. Sesungguhnya kain (kepunyaanku) tadi telah melalaikan aku daripada solatku sebentar tadi.
(Riwayat al-Bukhari)

5. Bercekak pinggang atau berpeluk tubuh

Daripada Aisyah ra bahawa rasulullah saw  tidak senang apabila seseorang meletakkan tangannya di pinggang dalam solat dan baginda berkata : Sesungguhnya orang Yahudi melakukan sedemikian.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

6. Solat ketika makanan telah dihidangkan

a) Aisyah rha melaporkan rasulullah saw pernah bersabda : Sekiranya makan malam telah dihidangkan sedangkan iqamat untuk solat juga telah dilaungkan, dahulukan makan malam.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

b) Abdullah b Umar telah meriwayatkan bahawa rasulullah telah bersabda: Jika seorang itu sedang makan, janganlah dia tergesa-gesa (menghabiskan makanannya) sehingga dia benar-benar selesaikan keperluannya), walaupun pada waktu itu iqamat telah dilaungkan.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

Syarat-syarat mendahulukan makan sebelum solat :

1. Makanan benar-benar telah dihidang
2. Terlalu lapar
3. Waktu masih panjang.

Ensiklopedia solat; Datuk Hj Md Hashim Yahaya

No comments:

Post a Comment