Tuesday, January 29, 2013

Maksiat batin 8


Membesarkan diri

Takbur sebesar penyakit dan maksiat di dalam hati.
Adapun membesarkan diri adalah sebesar-besar penyakit dan maksiat di dalam hati yang dicela oleh syarak, seperti :

1. Firman Allah Taala : Dikatakan kepada mereka; Hai orang-orang kafir masuklah kamu sekalian pada pintu-pintu neraka Jahnam dengan keadaan kekal di dalamnya. Maka neraka itu adalah sejahat-jahat tempat bagi orang-orang yang membesarkan dirinya.

2. Firman Allah Taala : Tidakkah di dalam neraka Jahnam itu tempat bagi orang yang membesarkan dirinya.

3. Sabda nabi saw : Tiada masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat zarah daripada takbur.

4. Sabda nabi saw : Dihimpunkan segala orang yang gagah dan yang membesarkan diri pada hari kiamat seperti rupa hama, mereka dipijak oleh segala manusia kerana sangat hina pada pandangan Allah Azza wa Jalla.

5. Sabda nabi saw : Sesiapa yang merasa besar di dalam dirinya dan mengagumi pada perjalanannya, nescaya ia mendapati Allah Taala berkeadaan sangat murka terhadapnya.

Hakikat Takbur :
Hakikat takbur itu bahawa seseorang melihat dirinya terlebih tinggi, terlebih besar dan terlebih mulia daripada orang lain dan melihat orang lain hina berbanding dengannya.

Tanda Takbur :
1. Adakalanya nyata pada lidah seperti katanya : Aku lebih baik daripada si polan, seperti kata Iblis yang dilaknati Allah dalam al-Quran : Aku terlebih baik daripadanya,iaitu daripada Nabi Adam. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikannya daripada tanah.

2. Adakalanya nyata pada kedudukan seperti ia meninggikan kedudukannya dan tempat duduknya terdahulu daripada orang ramai

3. Adakalanya nyata ketika berbicara dengan orang seperti ia tiada mahu kalah daripada perkataan orang dan tiada mahu ikut perkataan orang walau pun ia salah.

4. Kata Imam al-Ghazali : Orang takbur itu ialah orang yang jika ditegur oleh orang lain maka ia marah dan benci. Jika ia menegur orang maka dengan perkataan yang keras dan ia suka menegur orang tetapi tiada mahu ditegur oleh orang lain.

5. Sesiapa yang melihat dirinya lebih mulia daripada sesuatu yang dijadikan oleh Allah Taala walaupun daripada binatang, maka ia adalah orang takbur. Sepatutnya engkau mengetahui bahawa kemuliaan itu adalah orang yang dimuliakan Allah Taala di negeri akhirat iaitu orang yang takutkan Allah Taala.

Hendaklah menganggap diri sendiri lebih hina :
Sewajarnya bagi kamu menyakini diri sendiri lebih hina daripada segala makhluk Allah Taala. Dan hendaklah engkau melihat orang lain adalah lebih mulia daripada dirimu:

1. Jika melihat kanak-kanak kecil, katakanlah di dalam hatimu bahawa kanak-kanak itu tiada berbuat maksiat terhadap Allah Taala dan aku berbuat maksiat terhadap Allah Taala. Maka tiada syak lagi bahawa kanak-kanak itu lebih mulia daripada aku.

2. Jika engkau melihat orang yang lebih tua daripadamu, maka katakan di dalam hatimu, bahawa orang ini telah berbuat ibadat kepada Allah Taala lebih dahulu daripada aku. Maka tiada syak ia lebih mulia daripadaku.

3. Jika engkau melihat orang yang alim, maka engkau katakan di dalam hatimu bahawa orang ini diberi oleh Allah Taala ilmu  yang tiada diberikan kepadaku dan ia sampai kepada ilmu yang aku tiada mengetahuinya. Maka tiada syak lagi, ia lebih mulia daripada aku, betapa aku dapat menyamainya.

4. Jika engkau melihat orang yang jahil, maka engkau katakan di dalam hatimu bahawa orang ini berbuat maksiat terhadap Allah Azza wa Jalla dengan kejahilannya dan aku berbuat maksiat terhadap Allah Taala dengan ilmuku, maka tiada syak bahawa aku ini terlebih salah kepada Allah Taala dan terlebih jahat. Dan tiada diketahui dengan apa dimatikannya, barangkali ia bertaubat maka diampunkan Allah Taala  dosanya, iaitu ia mati dalam kebajikan dan barangkali aku berbuat maksiat, maka aku mati dalam kejahatan.

5. Dan jika engkau melihat orang kafir maka engkau katakan di dalam hatimu bahawa orang ini aku tiada mengetahuinya, berkemungkinan ia masuk Islam dan mati di dalam Islam, maka ia mendapat kebahagiaan dan diampunkan Allah Taala segala dosanya.

Wallaahu a’lam.

Hidayah Salikin
Syeikh Abdul Samad al-Palimbani.

No comments:

Post a Comment